ADUN BN, Star dijangka boikot Sidang DUN Khas esok - Utusan Malaysia

ADUN BN, Star dijangka boikot Sidang DUN Khas esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (Star) dijangka akan memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas yang berlangsung di Bangunan DUN di sini esok pagi.

Sidang DUN Khas itu disifatkan sebagai tindakan tergesa-gesa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk mengekalkan kuasa dan menggagalkan prosiding mahkamah berhubung pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah dipercayai tidak mengikut Perlembagaan. 

Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan bersama berkata, Sidang DUN Khas hanya boleh diadakan selepas kesemua ADUN menerima notis 21 hari sebelum tarikh persidangan berlangsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Notis 21 hari diperlukan untuk membolehkan persidangan khas ini diadakan kecuali kecemasan yang mana, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin boleh mengenepikan notis berkenaan.

“Ini disebabkan, notis persidangan DUN kali ini dikeluarkan dalam tempoh enam hari dan tiada keperluan atau kecemasan yang memberikan keutamaan Sidang DUN Khas dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sekiranya Tun Juhar berhasrat mengenepikan notis 21 hari tersebut, beliau perlu mendapatkan nasihat daripada Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Setakat ini, Musa (Ketua Menteri) dan Kabinet negeri yang dilantik (10 Mei) mengikut Perlembagaan tidak memberikan sebarang nasihat kepada Tun Juhar untuk menolak notis 21 hari terbabit,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, mengikut Perkara 21(4) Perlembangaan Negeri Sabah, DUN hanya perlu dipanggil bermesyuarat tidak lewat 120 hari dari tarikh pembubaran dewan.

“DUN dibubarkan pada 7 April lalu dan memerlukan 120 hari untuk persidangan seterusnya yang dijangka jatuh pada 6 Ogos depan,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, sumber mendedahkan satu sidang DUN Khas akan diadakan esok bagi pembentangan usul menyatakan sokongan pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dalam pada itu, Tun Juhar dan Mohd. Shafie berdepan writ saman yang difailkan Musa merangkap Pengerusi BN Sabah atas dakwaan pelantikan Ketua Menteri Sabah baharu melanggar Perlembagaan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini