RAUB 25 Jun – Penantian selama 38 tahun kira-kira 501 peneroka Felda Tersang 2 dan Felda Tersang 3, di sini akhirnya berakhir apabila mereka menerima suratan hak milik tanah rancangan masing-masing hari ini.
Majlis penyerahan suratan hak milik itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis di Masjid Felda Tersang 2.
Wan Rosdy berkata, pemberian suratan hak milik yang dinantikan warga peneroka itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan mereka di seluruh negeri ini.
“Daripada 43,124 peneroka di 115 tanah rancangan Felda di negeri ini, seramai 38,178 orang telah menerima suratan hak milik.
“Hanya 11 peratus atau kira-kira 4,948 peneroka yang belum menerima suratan hak milik yang masih dalam proses,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan suratan hak milik tanah berkenaan.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Abd. Moin dan Pegawai daerah, Datuk Hamdan Hussin. – UTUSAN ONLINE











