40 buah beg tangan mewah dirampas - Utusan Malaysia

40 buah beg tangan mewah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jun – Sebanyak 40 buah beg tangan mewah pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di sebuah daripada dua kuarters kerajaan di Presint 10, Putrajaya pada 11 Jun lalu dipercayai berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, hasil penelitian yang dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pe­ngubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman mendapati, kesemua beg tangan tersebut terdiri daripada 12 jenama mewah.

Ujarnya, jenama beg tangan yang dirampas ialah Roberto Cavalli, Chanel, Prada, Louis Vuitton, Gucci, Versace, Bottega Veneta, Le Monde De Ghribi, Lana Marks dan Analsena.

“Daripada dua buah kuarters yang dipercayai safe house yang diserbu di Presint 10 itu, pihak polis mengambil 40 beg tangan di rumah pertama, manakala di rumah kedua tiada sebarang rampasan dibuat.

“Selain itu tiada wang, kasut, barang kemas atau dokumen yang dirampas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, hasil semakan di laman web, jenama-jenama beg tangan mewah, harga sebuah beg tangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai antara RM6,000 dan mencecah lebih RM100,000.

Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah AMLA, Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan rampasan itu.

“Perkara itu masih dalam siasatan,” jelasnya.

Pada 11 Jun lalu, sepasukan polis dari Pasukan Siasatan Jenayah AMLA melakukan pemeriksaan dan mengambil beberapa kotak di sebuah kuarters di Presint 10, Putrajaya.

Empat kenderaan polis dan sebuah van bersama beberapa anggota polis berpakaian preman tiba pada pukul 1.15 petang, manakala sebuah lagi kediaman berhampiran lokasi yang sama diserbu pada pukul 3 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN