213 ekor lembu disediakan untuk Mantai Perdana - Utusan Malaysia

213 ekor lembu disediakan untuk Mantai Perdana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 13 Jun – Sebanyak 213 ekor lembu disediakan sempena program Mantai Perdana 2018 di tapak lama Kem Paroi di sini malam tadi.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, jumlah itu melibatkan lebih 70 tan daging lembu bagi menampung keperluan masyarakat di negeri ini membuat persiapan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. 

Katanya, harga yang ditawarkan pada program anjuran kerajaan negeri itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM27 sekilogram bagi daging lembu manakala RM34 bagi daging kerbau dengan berat yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada membuat beberapa penambahbaikan iaitu menghantar sejumlah lembu ke lokasi terpilih di daerah-daerah bagi memberi ruang masyarakat di sana menyertai program mantai.

“Selain itu, kita turut menyediakan lorong khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas membeli barangan,” katanya ketika melawat tapak program itu di sini. 

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Azman Shah Abd. Manaf.

Menurut Aminuddin, program mantai mendapat kerjasama penternak, pekebun dan peladang yang menjual hasil mereka secara terus dari ladang tanpa menggunakan orang tengah dalam urusan jual beli. 

Tambahnya, program itu akan diteruskan pada tahun depan kerana terbukti membantu dalam mengurangkan perbelanjaan rakyat selain menghidupkan tradisi negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini