IPOH – Jabatan Imigresen Perak menahan seramai 115 orang warga asing dan tiga warga tempatan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam Ops Mega 2.0 di dua lokasi berasingan di sini pada hari Sabtu dan hari ini.
Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, pihaknya telah melakukan serbuan pertama di sebuah premis rumah urut di Jalan Medan Istana dekat sini selepas menerima aduan dan maklumat daripada orang ramai.
Jelasnya, dalam serbuan tersebut, seramai 28 orang termasuk 21 wanita yang terdiri daripada empat warga asing Thailand, Myanmar (1) dan Vietnam (16) ditahan selepas dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua wanita yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan premis rumah urut.
“Selain itu, kita turut menahan dua orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang dipercayai melakukan kesalahan melindungi wanita warga asing itu. Dalam serbuan itu, kita juga menahan tiga wanita Thailand yang menyalah guna pas lawatan ke negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Beliau menambah, bayaran untuk setiap kali servis seks sebanyak RM150 manakala RM550 untuk sehari dan RM650 dikenakan bagi servis sehari pada hujung minggu.
Dalam pada itu, menurut Kamaluddin, dalam operasi kedua di sebuah kilang memproses ayam di Chemor dekat sini, pihaknya telah memeriksa seramai 150 orang dan menahan 90 orang lelaki PATI yang melakukan kesalahan imigresen.
Jelasnya, kesemua yang ditangkap terdiri daripada 20 orang warga Bangladesh, Nepal (28) dan India (42) dipercayai menyalahgunakan pas pekerjaan di negara ini.
“Kebanyakan daripada mereka mempunyai pas untuk pekerjaan di sektor pertanian namun, warga asing ini bekerja di kilang memproses ayam yang dikategorikan sebagai sektor pembuatan.
“Ada dalam kalangan PATI yang diberkas ini telah bekerja di negara ini sejak 10 tahun lalu dengan menyalahgunakan pas pekerjaan ini,” katanya.
Menurut Kamaluddin, pihaknya percaya majikan yang menggunakan perkhidmatan pekerja warga asing itu mahu memperoleh keuntungan lebih dengan menyalahgunakan pas pekerjaan mereka.
Jelasnya, bayaran levi untuk pekerja sektor pertanian bagi warga asing sebanyak RM640 setahun manakala untuk sektor pembuatan pula RM1850.
Tambahnya, kadar harga tersebut menyebabkan majikan menggunakan pekerja asing sektor pertanian untuk memperoleh lebih keuntungan dalam perniagaan mereka.
Kesemua 115 dan tiga warga tempatan yang diberkas ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963. – K! ONLINE










