Yezza komersialkan sambal tumis keluarga - Utusan Malaysia

Yezza komersialkan sambal tumis keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 21 Mei – Bau wangian sambal tumis menyambut ketibaan penulis bersama jurufoto di sebuah premis di pekan kecil ini.

Seorang wanita berhijab ungu kemudian mesra menyambut kami sambil memperkenalkan diri.

Penampilan Noor Azizah Ka­der Mohamed, 34, nampak begitu glamor, seolah-olah tidak sesuai dengan statusnya sebagai usahawan sambal tumis, yang bia­sanya bergelumang dengan cili kering dan bawang untuk menghasilkan produk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dahulu, saya mengusahakan butik pengantin di sini selama hampir tujuh tahun.

“Selepas berkahwin dan melahirkan anak, saya tidak dapat memberi komitmen kepada perniagaan andaman lagi kerana banyak masa perlu diluangkan di butik sedangkan anak masih kecil dan perlukan perhatian, jadi saya berehat selama tiga tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Noor Azizah, sebagai seorang yang pernah melibatkan diri dalam perniagaan, dia terasa kosong apabila sekadar menjadi suri rumah.

Katanya, terdorong untuk men­­ceburkan diri dalam perniagaan baharu, dia mendapat idea untuk mengkomersialkan sambal tumis yang dihasilkan oleh ibunya, Kamarun Nisa Mohd. Ha­niffa.

Tambah beliau, ibunya mempunyai pengalaman menjalankan perniagaan katering dan turut menjual sambal tumis secara kecil-kecilan.

“Melalui tunjuk ajar ibu, saya mula memasak sambal ini di rumah kira-kira dua tahun lalu.

“Bermula proses mencari bahan mentah, memasak, membungkus, mengiklankan melalui media sosial serta menghantar pesanan pelanggan, semua saya lakukan sendiri,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Menurutnya, dalam tempoh beberapa bulan, sambal tumis serbaguna keluaran Yezza itu semakin mendapat sambutan dan sehingga kini pihaknya menge­luarkan 20,000 bungkus setiap bulan.

Lebih menggembirakan, ka­ta­nya, produk berkenaan turut dipasarkan di luar negara termasuk ke China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Sekarang terdapat pihak berminat untuk membawa masuk produk ini ke Singapura dan saya berharap segalanya berjalan lancar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ke­istimewaan sambal tumis keluarannya, Noor Azizah berkata, proses penyediaan cukup teliti apabila cili dimasak selama empat jam bagi memastikan kuali­tinya.

“Selain itu, sambal tumis yang dijual pada harga RM6.90 sebung­kus turut diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mampu bertahan sehingga lapan bulan,” katanya.

Mengenai cabaran menjalankan perniagaan berkenaan, Noor Azizah berkata, pada mulanya ada rakannya kurang bersetuju atas alasan ramai orang menghasilkan sambal segera dan produk itu susah untuk dijual.

“Namun, saya jadikan ko­men mereka sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

“Saya mahu membantu memudahkan tugas suri rumah ketika memasak dan pada masa sama, memberi peluang kepada orang ramai menjadi stokis atau ejen,” katanya.

Tambahnya, dengan modal kira-kira RM15,000, dia nekad memulakan perniagaan dan turut berterima kasih kepada Kementerian Industri Asas Tani yang memberi geran penyelidikan selain bimbingan Pertubuhan Peladang.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk mengetahui tentang produknya boleh melayari laman Facebook Yezza Pes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN