[VIDEO]Peninju sebelah tangan - Utusan Malaysia

[VIDEO]Peninju sebelah tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Mei – Seorang remaja kurang upaya yang berasal dari Kampung Tikat di sini tidak menjadikan kecacatan sebelah tangannya sebagai penghalang untuk terlibat dalam sukan tomoi.

Pada peringkat awal, Wan Muhammad Adnan Wan Yusoff, 17, merasa malu kerana tangan kanannya yang lembik dan hilang fungsi dari bahagian bahu ke bawah selain kekangan kewangan untuk membayar yuran.

Namun sokongan jurulatih, Muhammad Mat Yasim, 46, atau ‘Ayah Mad’ yang merupakan seorang pesara tentera yang juga Pengerusi Kelab Tomoi Bamboo PCB telah membimbingnya secara percuma sejak enam bulan lalu menjadikan remaja ini kini bakat tomoi yang semakin bersinar.

Tumbukan padu meskipun dengan hanya sebelah tangan ditambah sepakan kencang setanding pelatih berfizikal sempurna melayakkan Wan Muhammad Adnan mendapat gelaran ‘Dnan Jaka’ atau pahlawan berbisa.

“Sebelum menjadi pelatih, saya sekadar jadi penonton selama berbulan-bulan melihat Ayah Mad buat latihan sama ada waktu petang atau malam di gelanggang latihannya di Badang di sini.

“Saya suka dengan gerakan tomoi yang tangkas dan berseni tetapi saya tidak berani beritahu niat mahu jadi pelatih kerana malu dengan keadaan tangan kanan yang lembik dari bahagian bahu ke bawah di samping bimbang tidak mampu bayar yuran.

“Sehinggalah satu hari Ayah Mad sendiri yang menyapa dan bertanya adakah saya minat tomoi dan menyatakan saya boleh belajar secara percuma,” katanya ketika ditemui di majlis pra-tamat latihan pelatih di Gelanggang Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor di Kampung Pulau Kundor di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 33 pelatih baharu berusia antara lapan tahun hingga 45 tahun dari Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor dan Kelab Tomoi Bamboo PCB yang menunjukkan kebolehan mereka. – UTUSAN ONLINE

Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×