Kebakaran di Kampung Cina libatkan 27 buah rumah

Kebakaran di Kampung Cina libatkan 27 buah rumah

KEADAAN lokasi kebakaran yang memusnahkan 27 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu, Kelantan hari ini-IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu mengesahkan sebanyak 27 buah rumah milik penduduk di Kampung Cina, Gok Kapur di sini terbakar hari ini.

Komander Operasi Kanan BBP Kota Bharu Zazuki Shafei berkata, jumlah itu melibatkan 130 keluarga.

“Jumlah asal rumah penduduk di kawasan ini sebanyak 45 buah. Daripada jumlah itu, 27 buah telah musnah dalam musibah berkenaan.

“Baki 18 buah lagi berjaya diselamatkan. Kebakaran ini tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan maklumat awal BBP Kota Bharu sebanyak 10 buah rumah telah terbakar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang Datuk Dr. Izani Husin memberitahu, pihaknya akan membuka Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapor dengan kadar segera.

Katanya, beliau menyeru kepada semua yang berkemampuan agar sama-sama menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya terus turun meninjau lokasi kejadian dan bertemu sendiri dengan mangsa-mangsa yang terlibat. Melihat wajah-wajah mereka yang masih terkejut dan pilu benar-benar menyentuh hati.

“Dalam sekelip mata, mereka telah kehilangan tempat berteduh dan harta benda. Sebagai orang beriman, kita yakin setiap ujian yang Allah turunkan pasti ada hikmahnya.

“Pesan saya kepada mereka agar terus kuat menghadapi dugaan ini dan jangan berasa keseorangan kerana ramai yang bersedia menghulurkan bantuan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN