DUBAI 30 Mei – Arab Saudi meluluskan rang undang-undang menangani jenayah gangguan seksual beberapa minggu sebelum perintah larangan memandu bagi wanita dimansuhkan.
Perundangan itu yang menunggu kelulusan dekri diraja sebelum boleh dikuatkuasakan sebagai undang-undang merupakan antara perubahan terbaharu yang dilaksanakan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Putera Mohammed turut cuba mempelbagaikan kebergantungan ekonomi Arab Saudi kepada minyak dan mengubah gaya hidup masyarakat dengan memberi kelonggaran peraturan sosial yang ketat selain mempromosikan hiburan.
Langkah anti gangguan seksual yang diluluskan kelmarin oleh badan penasihat Majlis Shura menetapkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 300,000 riyal (RM318,385).
“Undang-undang ini bertujuan memerangi jenayah gangguan seksual dan mengelakkannya dengan mengenakan hukuman terhadap pesalah dan melindungi mangsa selain melindungi privasi, maruah dan kebebasan individu yang dijamin oleh undang-undang dan peraturan Islam,” jelas Majlis Shura dalam satu kenyataan.
Keputusan untuk menamatkan pengharaman wanita memandu kereta yang dibuat tahun lalu akan berkuat kuasa pada 24 Jun ini dan dipuji sebagai bukti kecenderungan progresif dalam kerajaan.
Namun awal bulan ini, pihak berkuasa menahan hampir 12 aktivis hak asasi wanita yang sebelum ini menggesa hak untuk memandu dan menghentikan sistem penjagaan lelaki di negara ini. – REUTERS










