PM umum bantuan raya, sara hidup, polisi kerajaan - Utusan Malaysia

PM umum bantuan raya, sara hidup, polisi kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan kedudukan kewangan negara perlu diuruskan dengan berhati-hati agar dapat mengurangkan kos pentadbiran dan mengelakkan pembaziran.

Menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa berita gembira sempena perayaan Aidilfitri serta polisi negara mengenai perkara-perkara semasa.

1. Bantuan Khas Raya 
penjawat awam

Kedu­dukan kewangan kerajaan yang kukuh membolehkan pemberian bantuan khas sebanyak RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah serta bantuan sebanyak RM200 untuk pesara kerajaan.

2. SST ganti GST pada September

Pelaksanaan cukai barang dan per­khidmatan (GST) kadar kosong peratus bermula 1 Jun 2018 dan akan digantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai September 2018. Kadar SST akan dibuat kajian, sebelum ini 10 peratus.

3. Harga barang turun selepas 
kadar sifar GST

Harga barang dijangka turun selepas kadar sifar GST. Disebabkan GST di pelbagai peringkat, harga meningkat sehingga 16 pe­ratus dan pengguna terpaksa membayar harga tinggi. Kini dijangkakan peniaga dan pemborong da­pat jual pada harga lebih rendah daripada enam peratus.

4. Minyak RON95, diesel kekal, 
harga RON97 diapungkan

Harga diesel dan petrol RON95 akan dikekalkan tetapi harga RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran. Kementerian Kewangan akan mengumumkan mekanisme harga minyak esok.

5. Bantuan sara hidup ganti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM)

Bantuan sara hidup kepada rakyat akan menggantikan BR1M. Bantuan akan mula dibayar pada 6 Jun dengan kadar yang sama.

6. Janji manifesto perlu ambil kira kewangan negara

Kita telah membuat janji-janji dalam manifesto iaitu dalam jangka masa 100 hari kita akan laksana janji-janji ini tetapi didapati masalah lebih teruk daripada jangkaan semasa menyiapkan manifesto.

Sebab itu, janji-janji ini akan ditunaikan tetapi perlu mengambil kira keadaan kewangan dan juga tidak menjejaskan pentadbiran negara. Tetapi, janji-janji ini akan dilakukan bermula sekurang-kurangnya dalam 100 hari.

7. Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dibatalkan tetapi tertakluk perbincangan Singapura

Jemaah Menteri bersetuju HSR dibatalkan, tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan Singapura kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi. Kita akan dengar mereka (Singapura), mereka rakan yang baik.

8. MRT3 dibatalkan, ECRL 
masih dalam kajian

Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) tidak akan diteruskan. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) belum dibatalkan, sedang dikaji dan wang yang banyak telah dibe­lanjakan, jadi memerlukan cara-cara bijak untuk tangani masalah ini.

9. Tabung Harapan Malaysia 
untuk rakyat bantu 
masalah kewangan negara

Terdapat ramai rakyat yang apabila diketahui bahawa kedudukan kewangan negara sudah menjadi buruk, mereka sanggup memberikan derma kepada kerajaan. Kita alu-alukan sikap patriotik mereka dan diucapkan terima kasih. Untuk memastikan supaya derma-derma ini sampai kepada pihak yang bertanggungjawab, maka derma ini diserahkan kepada Kementerian Ke­wangan.

10. KSP RMK-11 dan Bajet 2019 
pada November ini

Kajian separuh penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan dibentangkan dalam mesyuarat pada November nanti bersama dengan Bajet 2019. KSP akan diubah suai dengan mengambil kira kemajuan projek dari 2016-2018 dan hala tuju kerajaan baharu bagi baki 2018 hingga 2020.

11. Diskaun tol dua hari 
sebelum Aidilfitri

Diskaun tol sebanyak 50 peratus akan diberikan kepada semua lebuh raya bertol untuk dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

12. Skim Kawalan Harga Musim Perayaan

Skim kawalan harga sempena hari raya akan dilaksanakan.

13. Majlis Penasihat 
Pertanian Negara

Kerajaan bersetuju penubuhan Maj­lis Penasihat Pertanian Negara.

14. Tema Hari Kebangsaan

Tema Hari Kebangsaan untuk tahun 2018 ialah Sayangi Malaysiaku.

15. Status program Permata

Program Permata Negara (Permata) akan dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pendidikan.

16. Piala Dunia di Radio Televisyen Malaysia (RTM)

Piala Dunia akan disiarkan menerusi RTM tahun ini.

17. Kajian semula projek-projek mega

Projek-projek yang tidak penting dan mega dihentikan bagi mengurangkan kadar pinjaman oleh kerajaan yang telah meminjam dengan banyak. Kerajaan perlu membayar de­ngan banyak jika masih mene­ruskan projek mega. Ini bukan sahaja melibatkan projek HSR tetapi projek mega lain bernilai berbilion ringgit. Ini dilakukan bagi menge­lakkan negara menjadi bankrap dan menguruskan hutang yang besar.

18. Taklimat Kementerian Kewangan

Taklimat penuh berkenaan Kementerian Kewangan akan menurunkan kos pentadbiran negara dan langkah-langkah yang bakal diambil supaya mencapai bajet yang tidak memerlukan defisit akan diadakan esok. Begitu juga dengan kajian status projek Bandar Malaysia.

19. Pencarian Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dihentikan

Program pencarian besar-besaran di seluruh dunia telah dilakukan dan masih belum bertemu sebarang bukti, jadi harus sampai tahap tidak boleh terus mencari benda yang tidak akan jumpa.

Sesiapa yang ada maklumat akan pertimbangkan untuk meneruskan pencarian tetapi pada ketika ini ia perlu dihentikan. Kami kecewa dengan perkara ini dan kami memahami perasaan ahli keluarga tetapi kita tidak boleh terus mencari MH370 selamanya.

20. Malaysia kaji semula tuntutan Pulau Batu Puteh.

Kita sedang berfikir tentang itu sebenarnya (menarik diri daripada semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh). Kita telah diberikan Batuan Tengah, di situ sudah ada struktur bangunan, jadi kita juga ada niat untuk membesarkan Batuan Tengah supaya dapat membentuk sebuah pulau kecil untuk kita.

21. Kedudukan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan 
Raya (SPR)

Kami mendapat laporan tentang perkara yang tidak dilakukan dengan betul semasa pilihan raya. Selepas selesai (kajian), kita akan buat pertimbangan tentang apa yang perlu dibuat dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya. Kita tidak akan membuat sebarang pertimbangan selagi tidak mendapat maklumat.

22. Belum ada penyelesaian 
masalah 1Malaysia 
Development Berhad (1MDB)

Ketika ini telah ada sekumpulan orang untuk melihat masalah 1MDB. Sebelum dapat apa-apa maklumat penuh, kami tidak boleh buat keputusan.

23. Parlimen bersidang bulan Jun

Parlimen akan bersidang bulan hadapan tetapi belum ada tarikh yang dapat ditentukan kerana perlu me­lantik menteri untuk memenuhi semua jawatan Kabinet dan kemudian akan ditentukan tarikh.

24. Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak dibincangkan Kabinet

Isu tuntutan Hindraf terhadap UiTM tidak dibincangkan.

25. Peranan Jakim akan dibincangkan

Satu kumpulan ulama yang mempunyai pengetahuan agama dan juga orang yang tidak ada penge­tahuan untuk membincangkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sama ada akan dikekalkan seperti sekarang atau pun tujuan asal akan dihidupkan semula.

Dan kita akan menentukan supaya di negara ini, Islam tidak digambarkan sebagai satu agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa. Itu sebenarnya bukan agama Islam kerana agama Islam tidak sedemikian.

26. Kedudukan BTN 
masih dalam kajian

Kedudukan Biro Tatanegara (BTN) sedang dikaji.

27. Tidak tolak kemungkinan 
projek mega dilihat semula

Itu pasti (terhadap kemungkinan projek-projek mega yang dibatalkan akan dilihat semula pada masa hadapan). Saya fikir esok kita akan dapat taklimat penuh tentang apa yang kita sedang dilakukan untuk memastikan pinjaman dapat dikendalikan, perbelanjaan kerajaan dikurangkan dan mencapai bajet yang tidak mengalami defisit besar.

28. Program-program terhadap golongan minoriti

Kumpulan minoriti sentiasa dibenarkan bersuara, membuat aduan, mempunyai organisasi dan setakat ini tidak terdapat banyak kes golo­ngan ini dilayan tidak adil.

Soal pengagihan kekayaan di Malaysia perlu diambil kira, ini bukan hanya mengenai soal kumpulan kecil, persoalan perlu melibatkan soal ke­sejahteraan dan pendapatan. Hanya kerana sedikit, tidak semestinya perlukan pertolongan, sesetengah komuniti mungkin sedikit dari segi angka tetapi mereka agak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN