KUALA TERENGGANU 15 Mei – Penduduk di daerah ini dianggarkan melakukan pembaziran sisa atau lebihan makanan yang menjadi salah satu bahan buangan utama sehingga sampah sarap sehingga mencecah purata 250 tan sehari.
Pengarah Bahagian Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Azhar Mohd Zahari berkata, jumlah itu akan meningkat mendadak sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, pembelian akan meningkat kerana keinginanan untuk menikmati juadah yang dijual amat tinggi tanpa mengambil kira soal pembaziran.
“Oleh itu orang ramai diingatkan membeli atau memasak mengikut kadar yang sepatutnya. Begitu juga dengan pengendali makanan agar menyediakan juadah mengikut anggaran pelanggan yang akan membeli pada hari berkenaan.
“Ini kerana kita tidak menggalakkan mereka menjual semula makanan yang tidak habis kerana bimbang akan berlaku keracunan makanan dan mencetuskan masalah kesihatan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Akademi Chefmanship (CA) Majlis Taklimat Keselamatan Makanan Peniaga Bazar Ramadan dengan kerjasama syarikat perkhidmatan makanan antarabangsa, Unilever Food Solutions (UFS) dan Jabatan Kesihatan Daerah di di sini, hari ini.
UFS menerusi Akademi Chefmanship menjalankan tanggungjawab sosial membantu peniaga Bazar Ramadan dalam pengurusan sisa dan lebihan makanan, suatu inisiatif syarikat tersebut sejak tahun 2013 bagi mengurangkan pembaziran dalam kalangan penduduk negara ini.
Beliau menyambut baik usaha UFS yang pertama kali mengadakan kerjasama dengan MBKT bagi meningkatkan modul pendidikan dalam membimbing pengendali makanan dalam bidang pengurusan sisa dan lebihan di samping meningkatkan kualiti makanan dan perkhidmatan.
Sementara itu Ketua UFS Malaysia, Nursat Perven berkata, sejak CA yang dilancarkan melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan di seluruh negara, lebih 45,000 pengendali makanan telah mengikuti program itu.
Menurut beliau, mengikut data Institut Penyelidikan dan Kemajuran Pertanian Malaysia (Mardi) kira-kira 15,000 tan sehari rakyat negara ini membazir makanan atau kira-kira 1.1 juta tan setahun pada tahun 2016.-UTUSAN ONLINE










