KUALA LUMPUR 21 Mei – Tindakan seorang pemandu lori yang melakukan empat kesalahan termasuk memandu lori secara berbahaya, cubaan membunuh anggota polis dan melanggar sekatan jalan raya, awal bulan ini akhirnya mengundang padah apabila dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini.
Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu selepas Nik Muhamad Khairul Azhar Nik Azmi, 28, mengaku bersalah terhadap ke- empat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah lori yang membawa muatan batu berlebihan secara berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain apabila tidak memberhentikan kenderaan itu untuk pemeriksaan semasa sekatan jalan raya dan cuba melanggar anggota polis serta telah melanggar beberapa kenderaan lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini pada pukul 11 pagi, 7 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memandu atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap dan sekiranya dia memiliki lesen memandu, lesennya digantung selama tiga tahun serta jika tertuduh tidak mempunyai lesen memandu, dia hilang kelayakan memandu selama tiga tahun.
Mengikut pertuduhan kedua yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suraya Ahmad, tertuduh didakwa melakukan cu- baan membunuh dengan cuba melanggar dan menghimpit seorang anggota polis, Mohd. Ridzuan Zakaria menggunakan lori yang dipandu di Kilometer 12, Lebuh Raya Grand Saga pada masa dan tarikh yang sama.
Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda serta jika mendatangkan kecederaan, maka boleh dipenjara sehingga 20 tahun. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu.
Bagi pertuduhan ketiga, Nik Muhamad Khairul Azhar didakwa dengan sengaja melanggar sekatan jalan raya dan menghalang Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav menjalankan tugasnya pada masa dan tarikh yang sama di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini.
Dia yang diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria, didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. Tertuduh dijatuhi penjara setahun bagi kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat iaitu dengan sengaja melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna hitam milik Mohd. Suffian Husaini Mohamed, 37, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,000.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 12, Lebuh Raya Grand Saga dekat sini pada masa dan tarikh yang sama serta didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan itu.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, 7 Mei lalu.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pemandu lori bertindak melanggar kira-kira 15 buah kenderaan di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya, dekat sini, 7 Mei lalu untuk melarikan diri daripada pemeriksaan polis. Tertuduh meneruskan perjalanan dari Kajang hingga ke USJ 1 sebelum melanggar kenderaan yang berada di bahu jalan sepanjang kawasan pangsapuri di situ.











