KANGAR 31 Mei – Menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar yang kini sudah memasuki tiga minggu, sejak 9 Mei lalu.
Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mengulangi pendiriannya itu berkata, beliau yakin rakyat akan dapat membuat penilaian semula yang lebih tepat terhadap pemimpin dan parti politik sekali lagi menerusi peti undi.
Katanya, ini termasuklah berdasarkan perkembangan semasa terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan kerajaan seperti syarikat 1Malaysia Development Berhad (IMDB).
“Walaupun perkara ini agak berat (bubar Dewan Undangan Negeri) tetapi pada pandangan saya, ini adalah jalan terbaik untuk kita mendapatkan calon pemimpin yang lebih kemas. Biar rakyat tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan forum khas bertajuk ‘Puasa: Agama vs Budaya’ bersama Mufti Perlis dan Liew Chin Tong yang dianjurkan oleh One Centre Malaysia, Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini semalam.
Chin Tong adalah Pengerusi DAP Johor. Forum itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia, Perlis, Muhd. Zamri Vinoth Abdullah.
Turut diadakan ialah program Ziarah dan Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Bukan Islam yang dihadiri lebih 100 orang.
Mohd. Asri diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar.
Semasa di peringkat awal kemelut pelantikan Menteri Besar itu, beliau pernah mencadangkan agar pilihan raya negeri diadakan sekali lagi bagi menyelesaikan isu yang berlaku.
Dalam pada itu, Mohd. Asri berkata, Jabatan Mufti negeri ini akan teruskan mengadakan program-program untuk memperkenalkan Islam yang berbentuk sejagat kepada masyarakat bukan muslim di Perlis.
Katanya, orang Islam perlu mengakui kepelbagaian agama dan budaya yang wujud di negara ini dan oleh itu, semua pihak perlu memahami antara satu sama lain.
“Ramai bukan muslim tidak mengenali orang Islam dan apa yang mereka lakukan di masjid. Jadi dengan kita membawa mereka datang (masjid), orang bukan Islam dapat tahu apa yang kita buat selepas azan iaitu bersolat.
“Mereka (bukan Islam) sebelum ini mungkin hanya tahu tentang azan yang mereka dengar tetapi tidak mengetahui apa orang Islam lakukan selepas itu,” katanya.
Menurut Mohd. Asri, di zaman Rasulullah SAW, seorang musuh Islam iaitu Tsumamah pernah diikat di sebatang tiang di masjid kerana hendak membunuh Nabi Muhammad, tetapi kemudian akhirnya memasuki Islam kerana tertarik dengan agama suci itu.
Program memperkenalkan bukan muslim kepada masjid itu adalah kali kedua diadakan dengan sebelum ini pernah dilakukan di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis.
Turut diadakan dialog bersama antara masyarakat bukan Islam dan Islam baru-baru ini, yang turut mendapat sambutan hangat. – UTUSAN ONLINE










