Keluarga miskin terharu terima sumbangan - Utusan Malaysia

Keluarga miskin terharu terima sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 30 Mei – Tujuh beranak yang berteduh di rumah uzur di Kampung Anai, Limau Kasturi di sini terharu apabila kehidupan daif mereka mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Khatijah Abdullah, 36, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira kerana kesusahan hidup mereka mendapat perhatian daripada ahli korporat dan orang ramai selepas kisah keluarganya disiarkan dalam akhbar ini pada 27 Mei lalu.

Katanya, bantuan yang diberikan itu sangat dihargai walaupun terdapat beberapa pihak yang memandang serong terhadap keluarga mereka yang sengaja ingin meraih simpati dan perhatian.

“Kalau saya berharta, tidak mungkin kami memohon jasa baik agensi kerajaan untuk membina sebuah rumah untuk keluarga saya.

“Lihatlah bumbung rumah kami yang hampir keseluruhannya bocor dan dinding kayu juga reput dimakan anai-anai,” katanya di sini hari ini.

Tambah Khatijah, agensi kerajaan terlibat terutamanya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Ke­sedar) juga telah memberi respons untuk buat semakan semula me­ngenai permohonan bantuan rumah yang dipandang sepi sebelum ini.

Katanya, pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) telah berkunjung ke rumahnya semalam untuk menyiasat permohonan yang dibuatnya lebih tiga kali itu.

Sebelum itu, keluarga berkenaan mendapat kunjungan daripada Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail dan isterinya, yang juga Pe­ngarah Urusan Hentian Gua Musang, Naemah Ya’akob, untuk meng­hulur sumbangan.

Che Ibrahim berkata ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan makanan dan wang berkata, mereka terkejut dan bersimpati dengan keadaan yang menimpa keluarga berkenaan di akhbar.

“Saya bergegas ke sini dan melihat sendiri suasana kehidupan ke­luarga miskin yang tinggal di rumah hampir runtuh ini.

“Keluarga ini memang wajar dibantu kerana rumahnya tidak boleh lagi dibaiki kerana sudah reput dan wajarlah dipertimbangkan untuk pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan kedaifan tujuh beranak yang tinggal dalam rumah yang hampir roboh menyembah bumi serta terpaksa tinggal dalam rumah dibasahi hujan kerana bumbung bocor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN