Kekurangan bas diatasi segera - Utusan Malaysia

Kekurangan bas diatasi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 21 Mei – Kerajaan negeri sedang ber­­usaha menyelesaikan ma­­­salah kekurangan bas ser­ta kekerapan laluan bagi perjalanan domestik da­­lam usa­ha me­ningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di ne­geri ini.

Pengerusi Jawatan­kuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Ke­mudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat bas Panorama Melaka Sdn. Bhd. bagi menambah bilangan serta membaiki bas-bas yang rosak agar aduan orang ramai dapat dikurangkan.

Menurutnya, pihak berkenaan banyak menerima aduan awam sejak beberapa bulan lalu ekoran masalah kelewatan bas di kawasan tertentu hingga menyebabkan pengguna terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk mendapatkan kemudahan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Punca kelewatan bas ini telah kita kenal pasti dan ia berlaku di­sebabkan oleh kekurangan bas domestik yang menjejaskan operasi di beberapa laluan utama negeri ini.

“Panorama Me­la­ka hanya mempunyai 17 buah bas yang boleh beroperasi de­ngan baik daripada keseluruhan 60 buah bas untuk 19 laluan berbanding 26 laluan sepatutnya.

“Antara laluan yang dikenal pasti berdepan masalah itu adalah Melaka Sentral-Tampin me­lalui Cheng dan Durian Tunggal, Melaka Sentral-Masjid Tanah dan Melaka Sentral-Ujong Pasir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan Panorama Melaka Sdn. Bhd. di Melaka Sentral, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd., Abu Bakar Jani.

Jelas Mohd. Sofi, kerajaan ne­­geri komited untuk menyelesaikan masalah itu kerana ia membabitkan masalah rakyat terutamanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.

“Kita tidak nafikan banyak bas mengalami kerosakan dan ia akan dibaiki segera bagi memastikan kelancaran pergerakan bas domestik ke laluan yang ditetapkan selain menyewa bas dari luar jika perlu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengenal pasti jumlah peruntukan yang diperlukan untuk membaiki bas-bas yang rosak selain membincangkan kaedah jangka pendek dan jangka panjang bersama Panorama Melaka bagi me­nyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan.

“Pada masa kini kita memerlukan sekurang-kurangnya 32 buah bas domestik bagi mengurangkan tempoh penumpang menunggu selain memulakan operasi lebih awal iaitu bermula dari 5.30 pagi untuk jarak jauh dan berakhir pada pukul 9.30 malam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN