PUTRAJAYA – Kabinet telah membuat keputusan untuk menghentikan misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 selepas pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sudah sampai masa untuk menghentikan operasi pencarian pesawat malang itu selepas usaha tersebut tidak berhasil sejak empat tahun lalu.
“Sudah masanya kita perlu hentikan pencarian, kita sudah melakukan program pencarian di seluruh dunia dan masih belum bertemu sebarang bukti. Jadi, kita tidak boleh terus mencari benda yang kita tidak akan jumpa.
“Namun, sesiapa yang ada maklumat, kita akan pertimbangkan untuk meneruskan pencarian tetapi pada ketika ini kita perlu hentikan pencarian.
“Kami kecewa dengan keputusan ini dan memahami perasaan ahli keluarga tetapi kita tidak boleh terus mencari MH370 selamanya,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.










