SEPERTI gumpalan awan hitam yang sarat mengendong hujan, barangkali begitulah metafora yang sesuai untuk mendefinisikan gejolak emosi yang bersarang dalam diri Syafiq Kyle pada saat ini.
Masakan tidak, sejak video lucah milik lelaki yang mirip Syafiq tersebar di internet pada Ahad lalu, segala perhatian masyarakat tertumpu kepada pelakon drama bersiri Nur itu.
Masing-masing dilihat tidak menang tangan ‘berperang’ di laman sosial, memberikan justifikasi tersendiri tanpa mendengar sendiri kenyataan daripada tuan empunya badan.
Hampir dua hari berdiam diri, Syafiq akhirnya bersuara dan menjelaskan tentang situasinya menerusi kemas kini di Instagram.
Mengakui mahu menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin, pemilik nama lengkap, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu bagaimanapun tidak memberi kata putus sama ada lelaki dalam video berkenaan adalah dirinya atau tidak.
Justeru, ketika berpeluang bertemu dengannya dalam sebuah sidang media tertutup yang berlangsung di Hotel Grand Millennium malam kelmarin, Syafiq diajukan kembali dengan soalan yang sama.
Namun, peserta Hero Remaja 2011/2012 itu masih tetap dengan pendiriannya untuk membiarkan khalayak terus membuat andaian dan spekulasi.
Sementara itu, pengurus Syafiq, Shawn Amer memberitahu, karier artis yang diuruskannya masih berjalan seperti biasa dan tidak terganggu dek kontroversi ini.
Tambah Shawn, Syafiq baru selesai menjalani penggambaran drama Mentari dan bakal memasuki set penggambaran bagi telefilem Taubat.
KOSMO!: Syafiq, boleh kongsikan perasaan ketika mendapat tahu video lucah milik seorang lelaki yang didakwa mirip wajah anda tersebar di internet?
SYAFIQ: Apa yang boleh saya katakan tentang isu ini adalah, ia merupakan ujian paling hebat yang pernah saya tempuhi. Namun, saya tenang menghadapinya. Sejujurnya, saya sudah tahu lama tentang perkara ini iaitu sekitar dua tahun lalu.
Tetapi saya tidak ambil sebarang tindakan kerana tidak pasti tentang kesahihannya. Sepanjang dua tahun itu, saya melalui hidup setiap hari dengan bayangan tentang perkara ini (video lucah) sehingga ia benar-benar ditularkan oleh orang ramai.
Adakah anda sedar video tersebut dijual sebelum ia tertular?
Tidak sama sekali. Saya bukan jenis yang suka menggodek telefon.
Benar atau tidak lelaki yang dikatakan dalam video tersebut adalah anda? Adakah anda mengenali Mira, iaitu suara wanita misteri dalam video tersebut?
Saya faham semua pihak mahu mendengar jawapan daripada saya. Tetapi, objektif saya membuat sidang akhbar tertutup ini adalah untuk memberitahu orang ramai dan peminat bahawa saya mahu meneruskan kehidupan tanpa memandang ke belakang.
Jika saya mengaku atau tidak orang akan terus membuat andaian. Justeru, terpulang apa yang orang lain mahu fikir tetapi ini adalah jawapan yang terakhir dan muktamad daripada saya. Berkenaan dengan Mira, mungkin saya pernah kenal, tetapi seperti yang diperkatakan, saya tidak mahu memanjangkan perkara ini.
Selepas video tersebut disebarkan, muncul pula seorang lelaki yang dikenali sebagai Faizi Khairudin mengaku pernah berbalas mesej dengan anda di Instagram. Terbukti, lelaki tersebut hanya mahu meraih perhatian dan mereka-reka perbualan tersebut. Apakah yang anda ingin katakan mengenai perkara itu?
Saya tidak mahu mempedulikan tentang perkara berkenaan kerana saya ada sebuah masalah besar lain yang perlu diselesaikan. Seperti apa yang tertulis dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram, lelaki tersebut menyamar dan menyunting perbualan tersebut sebelum disebarkan.
Adakah anda melihat tersebarnya video ini disebabkan oleh hasad dengki atau dendam terhadap anda?
Saya sebenarnya enggan menyalahkan sesiapa. Saya lihat apa yang berlaku sebagai dugaan dan sebagai manusia, perkara sebegini yang akan banyak mematangkan kita.
Bagaimanakah penerimaan keluarga terhadap anda selepas isu ini?
Orang pertama yang saya bayangkan dalam kepala ketika video tersebut tular adalah ibu saya. Bayangkan, ibu dan ayah yang selalu membaca tentang kerjaya anaknya perlu melihat perkara ini tempoh hari.
Tentulah mereka mahukan penerangan daripada saya tetapi sebagai ibu dan bapa, mereka sangat positif. Sebagai seorang anak pula, saya perlu bangun dan buat perkara baik untuk mereka.
Anda dilihat mempunyai peminat yang sangat memberikan sokongan. Tidak banyak komen negatif yang diterima. Adakah anda berasa sangat bertuah kerana kurang menerima kecaman berbanding artis lain yang dilanda kontroversi?
Benar, saya sangat bertuah kerana mempunyai penyokong yang tidak pernah berhenti menyokong walaupun saya ditimpa ujian sebegini. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka.










