KUALA LUMPUR 21 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini hari ini
Istiadat itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Istiadat berkenaan bermula pada pukul 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Wan Azizah yang juga Presiden PKR selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di negara ini.
Wan Azizah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Turut mengangkat sumpah jawatan ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik pula mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Pendidikan; Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd. Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi); Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).
Turut mengangkat sumpah jawatan ialah Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Pengarah Strategi PAN, Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).
Mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.
Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir, 92, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.
Dr. Mahathir dijangka menamakan anggota Kabinet yang seterusnya secara berperingkat-peringkat.
Selepas istiadat itu, Dr. Mahathir dan anggota Kabinet dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama Seri Paduka. – BERNAMA











