KUDAT 31 Mei – Warga Hospital Kudat Sabah bertuah apabila menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama 25 orang delegasi itu yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perlis yang dalam lawatan sempena Op Pasir 2018 di Sabah, disambut oleh Pengarah Hospital Kudat, Dr. Eva Candra Susanti Suhaili dan kakitangan hospital tersebut.
Lebih istimewa pada majlis tersebut, baginda turut berkenan merasmikan Bilik Unit Tabung Darah hospital itu yang dijenamakan sebagai Bilik Unit Transfusi Perubatan Tuanku Syed Putra.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan melancarkan taman herba di kawasan hospital tersebut dengan menanam pokok durian ‘ASFA 50’ iaitu bersempena dengan ulang tahun perkahwinan Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis yang ke-50 tahun.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Sabah; Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sektor korporat yang turut menaja pelbagai sumbangan kepada hospital berkenaan.
Ketika bertitah pada majlis tersebut, baginda menasihatkan agar rakyat memelihara kesihatan diri masing-masing dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan hidup.
Titah baginda, corak atau gaya hidup sihat adalah merupakan satu jaminan pencegahan daripada penyakit yang sering melanda masyarakat pada zaman kemajuan teknologi ini seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan tekanan hidup.
“Di zaman serba moden ini, kewujudan mesin dan jentera juga telah banyak mengambil-alih sebahagian besar kerja-kerja yang pernah kita lakukan dengan keringat dan kerahan tenaga.
“Disebabkan kekurangan penggunaan tenaga fizikal inilah, maka kita perlu mempunyai sikap yang lebih positif untuk menceburkan diri dalam aktiviti fizikal seperti bersukan atau beriadah selaras dengan keupayaan dan keperluan kita,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE










