LIEGE – Seorang lelaki membunuh tiga mangsa termasuk dua pegawai polis wanita sebelum lelaki itu ditembak mati dalam kejadian di timur Belgium di bandar ini dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi kelmarin.
Media Belgium melaporkan, suspek yang dinamakan sebagai Benjamin Herman, 36, merupakan seorang pengedar dadah dan pencuri yang baru dibebaskan dari penjara sehari sebelum dia mengamuk.
Pihak berkuasa Belgium menyifatkan kejadian itu sebagai serang pengganas oleh penyerang secara solo.
Kedua-dua pegawai polis wanita yang maut masing-masing berusia 45 dan 53 tahun. Mereka ditikam dengan pisau dari arah belakang sebelum penjenayah itu kemudian merampas pistol salah seorang pegawai polis itu lalu menembak mereka sampai mati.
Suspek itu kemudian meninggalkan mayat kedua-dua anggota polis berkenaan selepas melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki berusia 22 tahun yang berada dalam kereta di tempat letak kereta. – AFP










