12 maut dirempuh lori gula di Jawa Tengah - Utusan Malaysia

12 maut dirempuh lori gula di Jawa Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BREBES 21 Mei – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sebuah trak membawa muatan gula terbabas sebelum merempuh beberapa buah kenderaan dan rumah berhampiran di Jawa Tengah semalam, lapor pihak berkuasa.

Menurut agensi bencana tempatan, trak yang dalam perjalanan ke Jakarta itu menghadapi masalah kegagalan brek ketika sedang menuruni bukit di daerah Brebes.

Pemandunya dilaporkan cuba berhenti di bahu kiri jalan tetapi gagal mengawal kenderaan itu lalu merempuh sebuah kereta, 13 motosikal dan tujuh buah rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini 12 orang maut dan 11 yang lain cedera,” kata pegawai agensi tersebut, Sarwa Permana sambil menambah, mereka yang cedera telah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, nasib peman­du trak yang dikenali sebagai Pratomo Diyanto tidak dapat dipastikan tetapi menurut portal berita Antara, dia telah ditahan sebagai suspek kejadian untuk disoal siasat.

Kemalangan pengangkutan se­ring berlaku di negara kepulauan itu, di mana kebanyakan bas, kereta api dan juga pesawat dalam keadaan uzur.

Pada Februari lalu, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan 16 lagi cedera apabila bas yang membawa pelancong domestik terbabit dalam kemalangan di wilayah Jawa Barat.

Pada Julai tahun lalu, 10 orang termasuk seorang pelancong Austria dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut apabila sebuah bas dalam perjalanan dari pulau peranginan Bali ke bandar Malang di Jawa Timur merempuh bahagian belakang sebuah trak baja ketika semua penumpang sedang tidur. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN