MARANG – Sebuah stor menyimpan pelbagai peralatan katering hangus dalam satu kebakaran di Masjid Kampung Tok Fakir, Merchang di sini hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.43 petang sebelum dua buah jentera dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah stor menyimpan barang sedang terbakar dan anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Imam Masjid Kampung Tok Fakir, Wan Abdullah Wan Hassan, 68, berkata, ketika kejadian, tiada jemaah di masjid tersebut dan hanya sebuah stor menyimpan pelbagai barangan katering untuk disewakan hangus terbakar.
Wan Abdullah berkata, beliau bersyukur api kebakaran berkenaan tidak sempat merebak ke bangunan masjid bersebelahan.
“Stor itu digunakan untuk menyimpan barangan katering seperti kawah, periuk dan pinggan mangkuk milik masjid yang boleh disewa oleh penduduk setempat.
“Mujur ketika kejadian tiada seorang pun jemaah di dalam kawasan masjid kerana kebakaran berlaku pada lewat petang,” ujarnya. – K! ONLINE










