Ada watak pelakon Malaysia tidak boleh galas tapi saya boleh - Josiah Hogan - Utusan Malaysia

Ada watak pelakon Malaysia tidak boleh galas tapi saya boleh – Josiah Hogan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Josiah Hogan, bersyukur memiliki wajah yang membolehkannya membawakan pelbagai karakter, sekali gus tidak terhad kepada watak lelaki Barat semata-mata sepanjang 16 tahun berkecimpung dalam industri hiburan di Malaysia.

Josiah atau Mohamad Musleh Hogan Abdullah, 40, berkata, dia melihat kelebihan itu sebagai rezeki yang dikurniakan kepadanya kerana mampu membawakan watak yang pelbagai.

Katanya, ramai yang menganggap wajahnya hanya sesuai untuk watak lelaki Barat, tetapi dia percaya penampilannya membolehkannya memainkan karakter yang lebih luas.

“Dengan penampilan yang saya ada, saya boleh membawakan watak berskala besar. Saya boleh jadi lelaki Barat, Portugis, Arab, Melayu-Pakistan dan Melayu-Arab.

“Saya juga boleh bersilat dan Muay Thai. Dengan apa yang Allah berikan kepada saya, saya sangat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Josiah sangat bersyukur kerana mempunyai kelebihan yang tidak ada pada pelakon Malaysia yang lain.

“Tak ramai. Contohnya macam Fattah Amin tak boleh jadi Mat Salleh atau watak Arab, tapi saya boleh. Ini bermaksud, Alhamdulillah, saya ada skala lakonan yang sangat besar dalam industri ini.

“Persoalannya cuma sama ada orang nampak ataupun tidak kelebihan skala yang saya miliki ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Josiah mendedahkan bahawa dia pernah menolak watak Mat Salleh kerana menganggapnya sebagai satu stereotaip.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan tawaran itu datang daripada individu yang dikenalinya, dia akhirnya akur untuk menggalas watak tersebut.

“Sebenarnya sejak awal kerjaya lagi saya sudah mula menolak tawaran sedemikian kerana tidak mahu terikat dengan stereotaip.

“Cuma pada peringkat awal, saya kecualikan syarat itu demi kawan-kawan seperti Abang Hashim dan pengarah sebelum Mat Kilau, termasuk untuk projek Misteri Fraser yang saya terima atas dasar persahabatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×