Pelajar maut terkena renjatan elektrik cuba ambil mata kail

Pelajar maut terkena renjatan elektrik cuba ambil mata kail

NORHABIBI Jaafar menunjukkan gambar anaknya yang maut terkena renjatan elektrik semasa mahu mengambil mata kail tersangkut pada wayar elektrik di Kampung Langgar, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan seorang pelajar mengambil mata kail tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi bertukar tragedi apabila dia maut terkena renjatan dalam kejadian di Kampung Langgar di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, mangsa Mohamad Amiruddin Anwar Md. Azam, 14, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan.

Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, dia dimaklumkan oleh anak ketiganya yang melihat kejadian menimpa Mohamad Amiruddin Anwar dan setiba di lokasi hanya mampu berdoa selepas melihat keadaan mangsa yang sudah kaku.

“Mujur semasa kejadian, ada seorang doktor tinggal berhampiran lokasi kejadian telah datang membantu melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sebelum dia dibawa ke HRPZ II.

“Melihat keadaannya ketika itu, saya sudah reda. Sehinggalah dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Langgar, hari ini.

Norhabibi memberitahu, sebelum kejadian, Mohamad Amiruddin Anwar sempat mengikutnya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar untuk mengambil seorang lagi anaknya.

Katanya, sebaik tiba di rumah dia terus masuk ke bilik untuk solat Asar sementara mangsa bersama adiknya, Azamuddin Azwa keluar.

“Selain mangsa dan adiknya, saudaranya Eizzrayyan Riduan turut ke lokasi kejadian. Saya dimaklumkan Azamuddin Azwa, semasa mereka mengayuh basikal abangnya nampak mata kail tersangkut di wayar elektrik.

“Dia berpatah balik ke rumah terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi yang digunakan untuk mengait buah. Dia dipercayai telah mengait mata kail tersebut menggunakan galah besi berkenaan lalu terkena renjatan elektrik,” katanya.

Norhabibi berkata, Azamuddin Azwa melihat abangnya kaku sambil memegang galah tersebut sebelum rebah. Sementara Eizzrayyan yang berada berhampiran, telah memegang Mohamad Amiruddin dan turut terkena renjatan elektrik.

“Azamuddin Azwa meminta bantuan saudara mara dan memberitahu saya abangnya terkena renjatan elektrik.

“Jenazah arwah dikebumikan 9.20 pagi di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar di sini manakala, Eizzrayyan sedang dirawat di HRPZ II,” katanya memaklumkan anak sulungnya itu merupakan kaki pancing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×