SUNGAI SIPUT: Laluan pendakian yang dipilih enam individu yang dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang adalah ekstrem dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Malim Gunung Perhutanan (MGP), Mohd. Osman Hassan, 44, berkata, keadaan laluan berkenaan agak mencanak selain mempunyai suhu yang sejuk sekali gus memerlukan tahap ketahanan fizikal yang tinggi.
Malah katanya, laluan dari Gunung Bieh untuk turun ke Pos Kemar di Gerik juga jarang digunakan pendaki dan tidak begitu dikenali berbanding trek lain.
“Laluan itu sebenarnya tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana agak ekstrem. Lagipun, laluan itu jarang orang lalu dan tidak begitu popular, jadi keadaannya agak semak.
“Jadi, untuk mereka turun menggunakan laluan tersebut, ia perlu dirintis semula,” katanya ketika ditemui di Pusat Sehenti Orang Asli di Bawong, di sini hari ini.
Dalam operasi SAR itu, seramai 12 anggota MGP dari Perak dan Kelantan digerakkan bagi mengesan enam individu termasuk empat keluarga yang dikhuatiri hilang.
Osman berkata, beliau percaya kemungkinan kumpulan itu sesat adalah rendah kerana dua malim gunung yang mengiringi mereka berpengalaman dalam navigasi hutan.
“Mereka berpengalaman menggunakan peta topografi dan kompas serta mempunyai kemahiran navigasi hutan.
“Jadi, saya tidak fikir mereka sesat. Mereka mungkin mengalami kecederaan atau masalah kesihatan termasuk kekejangan otot,” katanya.
Sementara itu, seorang MGP, Muhammad Qaiyum Ahmad, 39, berkata, kumpulan berkenaan memilih laluan paling sukar di kawasan Trans GBB (Gunung Gerah, Bilah dan Bieh) yang jarang digunakan pendaki.
Katanya, terdapat dua laluan utama menuju GBB iaitu melalui Kelantan dan Perak dengan laluan dari Kelantan lebih mudah berbanding laluan dari Perak.
“Kalau kita buat perbandingan, GBB mempunyai dua laluan iaitu melalui Kelantan dan Perak. Laluan melalui Kelantan adalah yang paling mudah manakala laluan dari Perak adalah yang paling sukar.
“Di laluan Perak pula terdapat dua jalur, satu boleh dikatakan susah dan satu lagi lebih susah.
“Mengikut perancangan kumpulan berkenaan, mereka memilih laluan paling sukar yang jarang digunakan pendaki,” katanya.
Menurutnya, pendakian biasa ke kawasan berkenaan mengambil masa sekitar empat hingga lima hari, namun laluan yang dipilih kumpulan terbabit memerlukan tempoh antara enam hingga tujuh hari dalam keadaan normal.
“Cabaran laluan itu bukan hanya dari segi keadaan fizikal trek, tetapi turut melibatkan faktor cuaca dan keadaan fizikal peserta sendiri kerana perjalanan bagi laluan sukar itu adalah jauh,” katanya. – UTUSAN










