Remaja minta bantuan orang ramai cari ibu kandung - Utusan Malaysia

Remaja minta bantuan orang ramai cari ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK 6 Feb. – Seorang remaja pe­rempuan berstatus bukan warganegara meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandungnya yang telah terpisah sejak 2015 untuk memboleh­kannya memohon dokumen pengenalan diri serta proses permohonan anak angkat.

Remaja berkenaan, Nor Ain Abdullah, 16, kini tinggal bersama-sama keluar­ga angkatnya di Grisek selepas ditinggalkan ibunya, Norhayati Yusof ketika berusia 13 tahun.

Menurut ibu angkatnya, Zaharah Selamat, 52, pada awal November 2015 ketika berehat di rumah, dia didatangi seorang wanita yang tidak dikenali bersama-sama seorang anak perempuan mengadu mengenai kesusahan dialaminya.

“Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Norhayati, bercerita mengenai kesusahan hidupnya berikutan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan terpaksa menanggung anaknya (Nor Ain).

“Norhayati meminta izin tinggal di rumah saya untuk sementara waktu sambil dia mencari pekerjaan. Tetapi selepas dua hari tinggal di rumah saya, dia menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sehingga kini,” katanya ditemui di sini semalam.

Zaharah berkata, keluarganya terpaksa menjaga Nor Ain apabila ibu kandungnya tidak muncul sama ada mahu mengambilnya semula atau menjenguknya hingga kini.

Dakwanya, selama Nor Ain berada di bawah jagaannya, dia dan keluarga berusaha mengesan Norhayati di sekitar daerah ini dan kawasan lain berpandukan gambar yang ada dalam simpanan anaknya namun gagal.

“Saya memohon jasa baik dan kerjasama orang ramai yang mengenali Norhayati dapat membantu mengesannya bagi membolehkan proses mendapatkan taraf penduduk tetap (PR) Nor Ain dapat dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN