TELOK KEMANG 9 Feb. – Lebih banyak perlakuan ganas terdedah dalam soal siasat polis terhadap suspek yang disyaki mendera Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia akibat kecederaan parah pada 31 Januari lalu
![]() |
|
ZAINUDIN AHMAD
|
Selain dipukul dengan tali pinggang yang biasa digunakan oleh tentera, ditendang dan dipijak hingga terkencing, murid Sekolah Kebangsaan Lukut itu juga dipercayai digigit di leher oleh suspek.
Ketua Polis daerah, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 38 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu ketika soal siasat polis.
“Dia juga mengaku mengarahkan mangsa melakukan tekan tubi sebanyak 500 kali.
“Perbuatan itu dipercayai dilakukan olehnya sejak awal tahun lalu dengan alasan mangsa seorang kanak-kanak yang degil,” katanya di sini hari ini.
Nur Aina Nabihah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 31 Januari lalu selepas tidak sedarkan diri di kediaman keluarga itu di Taman Vista Jaya dekat Lukut di sini.
Berdasarkan keputusan bedah siasat oleh hospital tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang putus, hati koyak, lebam dalaman pada usus serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Berikutan itu, polis telah menahan bapa kandung dan ibu tiri mangsa pada 1 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Zainudin memberitahu, kedua-dua suspek tersebut dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson, Selasa ini.








