LABIS 6 Feb. – Malaysia bimbang langkah susulan Kesatuan Eropah (EU) yang dikhuatiri menjejaskan lagi peluang minyak sawit masuk ke pasaran Eropah selepas mereka mengeluarkan resolusi berkenaan komoditi itu pada April lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong berkata, kerisauan itu juga termasuk mewujudkan satu akta hingga memberi kesan negatif kepada negara-negara pengeluar minyak sawit dunia.
“Kerajaan tidak bersikap lepas tangan dengan perkembangan tersebut malah mengambil beberapa langkah wajar termasuk mengadakan kesepakatan dengan negara pengeluar minyak sawit lain.
“Contohnya seperti Thailand, Indonesia, Ecuador, Colombia, Honduras, Peru dan Costa Rica dalam melahirkan rasa tidak puas hati kepada EU secara bersama-sama,” katanya.
Ahli Parlimen Labis itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Magnum Care kepada Rumah Kebajikan Grace Manna Care Labis di sini, baru-baru ini.
Pada April lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.
Resolusi berkenaan dianggap tindakan diskriminasi EU yang mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia itu bakal menjejaskan seramai 112,632 peneroka FELDA dan pekebun kecil.
Tee Yong berkata, melalui kesepakatan dengan negara pengeluar lain tersebut yang dikenali sebagai Friend of Plam Oil turut membangkitkan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengapa hanya minyak sawit didiskriminasi daripada penggunaan bio-fuel.
Selain itu katanya, kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi telah menulis surat bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan EU itu di samping pelbagai kementerian lain seperti Kementerian Luar, Kementerian Alam Sekitar serta Miti.
Tujuannya kata beliau, untuk memberi penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit yang melibatkan kemungkinan terdapat salah faham mahu pun salah fakta dalam kalangan negara EU.
Katanya, pihak Miti juga mengambil inisiatif mengadakan perbincangan serta penjelasan dengan delegasi-delegasi EU supaya mereka tidak mendapat maklumat yang salah berhubung industri minyak sawit terutama berhubung kemusnahan hutan atau isu alam sekitar.
Ujar Tee Yong lagi, kerajaan meletakkan isu diskriminasi minyak sawit sebagai satu keutamaan dan penting bagi Malaysia mengemukakan bukti bahawa tanaman kelapa sawit tidak menjejaskan jumlah hutan di negara ini.










