MUKADIMAH
“SAYA hari ini merupakan seorang ahli politik yang tidak berparti. Kalau menjadi seorang ahli politik yang tidak berparti, akan duduk di persimpangan jalan. Sama ada meneruskan tanpa mempunyai parti ataupun memilih jalan untuk ke kiri, kanan dan hadapan”. Itu kata-kata Ketua Pembangkang, DATUK SERI HAMZAH ZAINUDIN ketika membuka bicara dalam temu bual eksklusif bersama beberapa organisasi media, kelmarin.
Ahli Parlimen Larut itu menggunakan metafora yang membayangkan dirinya berada dalam sebuah kenderaan yang sudah siap untuk bergerak, namun belum didaftarkan di bawah mana-mana pihak. Keputusan seterusnya untuk menentukan arah dan siapa yang akan bersama dalam perjalanan tersebut.
Beliau terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti atau kumpulan yang berkongsi nilai serta matlamat perjuangan, namun tidak berkompromi terhadap prinsip semata-mata demi kelangsungan politik. Jika haluan tidak seiring, bergerak sendiri kekal sebagai pilihan.
Ikuti temu bual yang dihadiri wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR bersama jurufoto, M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL. Beliau bukan sekadar menyentuh soal hala tuju politik peribadi beliau, malah mengupas pelbagai dakwaan serta persepsi yang timbul kebelakangan ini.
UTUSAN: Ada kemungkinan kembali kepada UMNO?
HAMZAH: Sesebuah kapal yang besar itu kadang-kadang sudah berat dan perlukan kapal-kapal lain untuk membantunya. Ada pula kapal lebih canggih dengan teknologi-teknologi baharu selain mempunyai kepakaran dalam era moden dalam peperangan. Ia boleh membantu kapal yang besar.
Dalam perjuangan, itulah perkara yang sama. Kalau sebagai seorang laksamana, boleh memberikan arahan kepada armada untuk terus menentang dalam peranan. Jadi, saya boleh berada dalam mana-mana kapal tetapi tidak semestinya kapal asal.
Adakah Datuk Seri mempertimbangkan mana-mana kapal untuk bergantung?
Ramai pemimpin dan penganalisis berpendapat landskap politik negara memerlukan pasukan besar untuk menstabilkan keadaan. Media sering melihat saya sebagai operator yang mampu menjadi jambatan kepada semua pihak. Bukan untuk menonjolkan diri tetapi sebagai pejuang untuk semua.
Kenapa mereka meletakkan saya sebagai peneraju di hadapan? Mungkin atas sifat kerana saya telah menjadi Ketua Pembangkang. Tetapi secara peribadi, saya tidak meletakkan diri saya sebegitu. Saya letakkan diri saya sebagai pejuang untuk semua dan saya boleh bercakap dengan sesiapa sahaja.
Sebab itu bila saya kata Konsensus Nasional baharu, ia bukan tentang politik tetapi perancangan masa hadapan.
Reset yang dicadangkan bukan sekadar untuk individu tetapi untuk kumpulan dan masyarakat. Saya mahu rakyat lihat apa kesalahannya, adakah struktur, institusi atau sistem? Reset yang dilakukan untuk memastikan semua itu akan bertambah baik.
Kalau saya boleh menjadi faktor penyatu demi kepentingan rakyat, salahkah? Tidak sama sekali. Saya percaya inilah yang sepatutnya dilakukan jika benar-benar sayangkan negara ini iaitu dengan mencari seseorang yang mampu menyatukan semua pihak untuk bersama-sama membina negara.
Konsensus yang diperlukan mestilah diterima seluruh rakyat dan selaras dengan kepentingan negara.
Sebagai bekas korporat, memerlukan kapital (modal). Kita tidak boleh membangunkan negara tanpa modal. Bagaimana cara mendapatkannya? Modal perlu datang daripada setiap pihak yang menyumbang dana mereka sendiri dan menyalurkannya kepada satu kumpulan yang mereka percayai.
Oleh itu, kita memerlukan kumpulan yang mempunyai kredibiliti, integriti dan tidak boleh dipersoalkan. Mereka inilah yang perlu diberi ruang untuk memimpin usaha ini. Jika rakyat dapat melihat usaha ini dengan jelas, saya yakin negara akan maju.
Justeru, saya memperkenalkan konsep reset, satu istilah yang ringkas tetapi membawa makna yang sangat besar.
Reset ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk kumpulan dan masyarakat.
Bagaimana reset ini boleh menyatukan parti-parti Melayu?
Dalam syarat ‘payung besar’ dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau meminta saya mempengerusikan satu jawatankuasa untuk mengembalikan semua pemimpin Melayu ke dalam satu kumpulan. Maka, tidak salah saya bertemu dengan Presiden UMNO. Namun, saya dipecat kerana bertemu Presiden UMNO.
Ini menunjukkan sikap sesetengah pihak bahawa ‘payung’ boleh dipilih-pilih. Tidak boleh begitu. Jika mahu menjadi ‘payung’, ia mesti diberikan secara ikhlas. Keikhlasan itu muncul apabila kita benar-benar memahami nilai ‘payung’.
Sesiapa sahaja yang memerlukan ‘payung’, kita perlu memberikannya. Itulah konsep saya, keikhlasan dalam melihat sesiapa sahaja yang memerlukan sokongan harus diberikan peluang.
Bagaimana dengan kedudukan Datuk Seri sebagai Ketua Pembangkang?
Kalau dilihat daripada kenyataan Pengerusi PN, Pas akan ambil alih. Jika mahu ambil alih adakah untuk menentukan siapa Ketua Pembangkang ataupun mengambil alih sebagai Ketua Pembangkang?
Ia akan diselesaikan apabila Pengerusi PN bertemu dengan Ketua Pembangkang yang masih lagi Larut.
Ada laporan yang mengatakan PN akan memfailkan kekosongan jawatan Ketua Pembangkang?
Dia boleh kata nak kosongkan tetapi majoriti yang akan tentukan. Ini nampak seperti kecewa sebab mungkin pemecatan saya ini adalah sesuatu yang dianggap ‘padan muka’ kepada Larut. Tetapi mereka tersilap apabila susah untuk bagi ‘padan muka’ kepada Larut.
Jika boleh kembalikan semula, ‘padan muka’ mereka. Perkara ini akan menjadi persoalan di khalayak penganalisis, penyokong dan pengundi.
Sebagai seorang pejuang, saya percaya setiap langkah ke hadapan harus difikirkan bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi kebaikan semua, terutamanya rakyat.
Kalau saya ingin berjuang hanya untuk fikirkan diri sendiri, sangat mudah. Pilih sahaja salah satu kapal besar yang ada di hadapan, lompat ke dalamnya, duduk dalam itu.
Tetapi saya perlu fikirkan tentang yang lain. Apakah kapal besar itu sekarang ini sudah bersedia dengan teknologi-teknologi canggih yang saya bawa bersama dengan kereta-kereta yang lain tadi? Ini saya fikir masak-masak dan tidak baik kalau saya tinggalkan begitu saja.
Saya selalu kata, sejak daripada sekolah lagi saya suka bermain ragbi. Jadi bila bermain, saya adalah ahli pasukan dan walaupun boleh masuk pasukan lain tetapi perlu pastikan semua pemain terus bersama dengan saya. Maksudnya, walaupun masih boleh bergabung dengan pasukan lain, tidak kira pasukan baharu tetapi biarlah sekurang-kurangnya semua bersama.
Ada dakwaan Datuk Seri ‘beroperasi’ dalam keadaan ‘lemah’ memandangkan bukan lagi sebahagian daripada PN?
Setiap individu dan kumpulan perlu mempunyai kekuatan tersendiri. Dalam dunia moden hari ini, kreativiti menjadi aset paling penting bagi mana-mana organisasi. Saya yakin pasukan saya telah menghasilkan sesuatu yang bernilai dan setiap inovasi akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Sekarang, saya tidak menjual ‘produk’ secara langsung. Saya hanya menyampaikan hasil kerja yang telah kami bangunkan. Jika pihak lain tidak menghargai usaha ini, mereka boleh membiarkan saya pergi.
Tetapi jika mereka menghargai, kita perlu bersama-sama memastikan ‘produk’ ini memberi manfaat maksimum, terutama dalam arena politik dan pertahanan negara.
Sebagai contoh, dalam konteks peperangan di Teluk, kita melihat bagaimana aset negara berisiko jika dijual tanpa pertimbangan jauh ke hadapan. Kerajaan menjual beberapa aset besar kepada syarikat antarabangsa dan kita menekankan bahawa tindakan itu boleh dimanfaatkan pihak luar untuk kepentingan mereka sendiri.
Strategi petrodolar yang dimulakan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan betapa pentingnya perancangan jangka panjang dan pandangan jauh untuk melindungi kepentingan negara.
Sudi bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah PN?
Saya pernah kata kepada dia, “Saya adalah musuh nombor satu dia” dan memang benar saya musuh nombor satu. Kenapa? Kerana saya tidak mahu kembali ke belakang.
Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, saya sudah berada di persimpangan lampu isyarat, sama ada pergi ke hadapan, kiri atau kanan. Saya memilih untuk tidak melihat ke belakang.
Apabila banyak bahagian dalam parti telah disatukan atau diubah, mereka terpaksa melantik penaja baharu. Jika ambil bahagian yang telah diubah untuk menyokong saya sebagai penaja, mereka juga perlu bermula semula dengan penaja mereka.
Kita sebenarnya sedang bermain dalam situasi yang tidak adil. Dalam keadaan ini, sesetengah pihak tidak boleh mendakwa mereka lebih besar daripada saya dan saya juga tidak boleh mendakwa lebih besar daripada mereka. Maka, tiada gunanya ada perasaan ‘saya di atas, kamu di bawah’ kerana kita berada di lapangan yang sama.
Jika kita lihat di Parlimen dahulu, Bersatu ada 31 anggota tetapi enam telah keluar, tinggal 25. Daripada 25 itu, 18 memberi sokongan kepada saya, ditambah diri saya sendiri menjadikan 19. Jadi, daripada 25 anggota yang tinggal, saya mendapat 19 sokongan, manakala mereka hanya enam. Fikirkanlah situasi ini.
Bagaimana Datuk Seri melihat tindakan Bersatu menggantung ahli-ahlinya?
Kalaulah seorang presiden atau keputusan parti konsisten apabila mengambil sesuatu tindakan, maka rakyat tahulah parti ini bagus. Tetapi jika sebaliknya, padahal perkara yang sama tetapi hukuman berlainan, ini bermakna mereka kelam kabut.
Boleh Datuk Seri jelaskan apa sebenarnya berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini, difahamkan Datuk Seri memaksa presiden menandatangani 10 watikah kosong?
La ilaha illallah, buat apa tipu, yang penting kita bagi nama dan presiden sudah bersetuju. Borang kosong itu perkara biasa, ini kerana kadang-kadang, apabila berlaku perubahan saat akhir, ada pihak yang tersilap, itu perkara biasa, takkan ia menjadi isu besar? Semua parti pun buat perkara sebegini.
Masalah timbul apabila tiada pihak atau perkara lain untuk dipersalahkan, lalu perkara kecil diperbesar-besarkan. Ini bermakna dakwaan yang mengatakan tiada calon di Sabah, tidak betul kerana perkara ini telah dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sudah diumumkan pun ketika itu.
Ketika itu, beberapa nama telah dipastikan berdasarkan strategi tertentu dan tidak semua diumumkan pada awalnya.
Datuk Seri dilihat lebih banyak berpaut pada Pas untuk kelangsungan?
Tidak tepat, saya buat temu janji dengan Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebelum dipecat. Ketika itu dalam perjalanan berjumpa Tok Guru, sejam sebelum saya sampai, saya menerima pesanan mengatakan dipecat. Bukannya berjumpa Tok Guru kerana dipecat untuk minta tolong.
Sebagai Ketua Pembangkang, banyak perkara yang saya lakukan bersama bukan sahaja dengan Presiden Bersatu tetapi juga Pas, wakil dan rakan-rakan lain. Perkara itu tidak salah kerana itulah sepatutnya dilakukan.
Perlu berani akui kesilapan
Boleh Datuk Seri kongsi pandangan tentang pendedahan Bloomberg dan cubaan mencipta naratif untuk menjatuhkan kerajaan?
Kita sepatutnya melihat media seperti Bloomberg sebagai rakan yang boleh membantu, bukan ancaman. Walaupun tidak bekerjasama secara langsung dengan kerajaan, mereka tetap boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam negara ini demi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh.
Sebab itu saya berpendapat, apabila Bloomberg membangkitkan sesuatu isu, kita wajar mendapatkan pengesahan lanjut daripada mereka. Dalam dunia media hari ini, wartawan juga perlu berani bekerjasama dengan media antarabangsa.
Malangnya, masih ada rasa takut untuk berbuat demikian, mungkin kerana terlalu banyak sekatan. Sedangkan pada satu masa, kita menggalakkan kerjasama antarabangsa untuk menarik pelabur dan membina keyakinan tetapi pada masa lain kita menolak kerjasama dengan media global.
Hakikatnya, dunia mempercayai media untuk melaporkan sesuatu secara adil berdasarkan maklumat yang mereka miliki. Jadi, mengapa kita pula memilih untuk menolak? Di sinilah terletaknya perbezaan pendekatan yang perlu kita nilai semula demi kebaikan negara.
Pandangan Datuk Seri sebagai antara yang lantang bersuara tentang isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang baru-baru ini dibatalkan?
Hari ini, perkara ini telah terbukti. Jangan sampai akhirnya kita semua yang menanggung malu. Malu bukan di peringkat dalaman sahaja tetapi di mata dunia kerana kita dilihat menandatangani sesuatu tanpa pertimbangan yang cukup teliti.
Orang luar akan mempersoalkan, adakah kita tidak mempunyai kumpulan pemikir yang mampu menilai sebelum sesuatu keputusan dibuat? Sepatutnya kita berbincang, meneliti setiap klausa, mempertimbangkan baik buruknya, sebelum membuat keputusan untuk menandatangani sesuatu perjanjian.
Apabila saya memberi pandangan, saya lakukan sebagai ketua pembangkang yang berpegang kepada prinsip semak dan imbang. Adakah salah untuk saya memberikan pandangan yang boleh dipertimbangkan?
Kini, saya melihat ada perubahan positif. Sebagai contoh, Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan penubuhan satu jawatankuasa. Malah, mesyuarat pertama juga telah diadakan. Ini langkah yang baik.
Jika kita benar-benar mahu membina negara dengan keyakinan semua pihak, inilah pendekatan yang perlu diambil. Kita perlu berani mengakui kesilapan. Ia bukan kesalahan mutlak tetapi kekhilafan dalam membuat keputusan. Apabila berlaku kesilapan, kita perlu menerima, duduk semula, menilai dan memperbaiki pendekatan.
Hanya dengan cara ini, kita boleh bergerak ke hadapan dengan lebih yakin. Seorang pemimpin perlu bersikap inklusif, membuka ruang kepada pelbagai pandangan, idea dan cadangan. Dalam sistem demokrasi, setiap orang berhak bersuara. – UTUSAN










