MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. bertemu dengan Duta Besar China, Huang Xilian bagi menyuarakan kebimbangan serius berhubung penggunaan lampu laser terhadap sebuah kapal peronda negaranya di Laut China Selatan.
Kapal pengawal pantai China didakwa memancarkan lampu laser gred tentera untuk menghalang kapal peronda Filipina, BRP Malapascua daripada menghampiri Second Thomas Shoal bagi menghantar bekalan kepada pasukan Filipina di kawasan perairan itu.
Tindakan itu menyebabkan kru kapal itu buta buat sementara waktu.
Konfrontasi itu secara tidak langsung menunjukkan pertikaian yang semakin meningkat selepas Kementerian Luar Filipina memfailkan bantahan diplomatik mengecam tindakan agresif kapal pengawal pantai China.
Setiausaha Komunikasinya, Cheloy Velicaria-Garafil berkata, Marcos Jr. bertemu dengan Huang Xilian bagi menyatakan mengenai `peningkatan kekerapan dan tindakan tegar China’ terhadap pengawal pantai serta nelayan Filipina.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut.
Sementara itu, pegawai kedutaan China memaklumkan kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara termasuk cara menangani isu maritim antara Beijing dan Filipina dengan betul.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada 6 Februari lalu, kira-kira 20 kilometer (km) dari Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly yang mana tentera marin Filipina ditempatkan.
Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin menegaskan kapal pengawal pantainya beroperasi secara profesional dan dengan kawalan di lokasi itu mengikut undang-undang China dan antarabangsa.
Menurut Wang, kedua pihak terlibat sudah berhubung menerusi talian hotline antara kementerian luar negara masing-masing untuk membincangkan isu maritim.
Isnin lalu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price mengecam dan menyifatkan tindakan pengawal pantai China yang provokatif dan tidak selamat mengganggu operasi sah Filipina di sekitar Second Thomas Shoal.
“AS berdiri bersama sekutu kami, Filipina ketika laporan mendakwa pengawal pantai China menggunakan peranti laser terhadap kru kapal peronda Filipina,” katanya. – AFP










