Presiden Miss Universe kecam Pengarah Thailand hina peserta secara terbuka - Utusan Malaysia

Presiden Miss Universe kecam Pengarah Thailand hina peserta secara terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Presiden Pertubuhan Miss Universe, Raul Rocha mengecam tindakan Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil, yang memarahi beberapa peserta pertandingan ratu cantik  secara terbuka menerusi siaran langsung pada Selasa lalu.

Dalam video berdurasi kira-kira 13 minit itu, Nawat yang juga Naib Presiden bagi rantau Asia dan Oceania dalam Pertubuhan Miss Universe serta Presiden Miss Grand International menegur peserta Miss Universe Mexico, Fatima Bosch, kerana didakwa gagal menyiarkan bahan promosi berkaitan Thailand, selaku negara tuan rumah edisi tahun ini.

Menurut Nawat, beliau menerima laporan daripada kakitangannya Pengarah Miss Universe Mexico telah mengarahkan Bosch supaya tidak menyiarkan sebarang kandungan berkaitan Thailand.

Bosch kemudiannya tampil menjelaskan hal tersebut hanyalah satu salah faham namun, Nawat memotong penjelasannya dengan bertanya secara keras: “Soalan saya, boleh ikut arahan kami atau tidak? Boleh siar atau tidak? Boleh bantu promosi Thailand atau tidak? Ya atau tidak?”

Apabila Bosch menjawab ‘ya’, Nawat terus mengarahkannya supaya duduk.

Beliau turut menambah dengan nada menghina: “Kalau kamu ikut arahan pengarah negara kamu, kamu memang dungu.”

Tindakan Nawat itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peserta lain apabila Bosch bangun mempertahankan dirinya sebelum pengarah kontroversi itu memanggil pasukan keselamatan, satu tindakan yang disambut dengan kejutan oleh peserta-peserta lain.

Bosch yang meninggalkan bilik itu sempat menegaskan: “Saya berada di sini mewakili negara saya, dan bukan salah saya jika anda ada masalah dengan organisasi saya.”

Susulan kejadian itu, beberapa peserta lain termasuk Miss Universe Kanada, Armenia dan Palestin turut bangun dan meninggalkan tempat tersebut.

Bosch kemudian memuat naik kenyataan di media sosial, menyifatkan kenyataan Nawat sebagai tidak hormat dan menegaskan maruah diri perlu diutamakan.

“Dunia perlu tahu hal ini kerana kami semua adalah wanita berdaya. Jika sesuatu itu mengorbankan maruah anda, maka anda perlu melangkah pergi,” katanya.

Berikutan insiden berkenaan, Rocha mengumumkan sekatan terhadap penglibatan Nawat dalam sebarang acara berkaitan Miss Universe tahun ini, dengan mengehadkannya sekurang-kurangnya atau menyingkirkannya sepenuhnya.

Rocha turut memaklumkan pihaknya telah menghantar delegasi khas yang terdiri daripada pegawai eksekutif Pertubuhan Miss Universe serta pakar diplomatik ke Thailand bagi mengambil alih kawalan terhadap penganjuran Miss Universe edisi kali ini.

Namun, dalam majlis sambutan peserta Miss Universe 2025 malam tadi, Nawat tampil memohon maaf secara terbuka sambil menahan sebak.

“Saya manusia biasa. Kadang-kadang saya tidak dapat mengawal tekanan. Saya tidak berniat untuk menyakiti sesiapa. Saya mohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya sambil tunduk hormat kepada para peserta.

Pertandingan akhir Miss Universe 2025 dijadual berlangsung pada 21 November ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN