Menteri Indonesia ikrar siasatan adil kematian tentera didakwa didera pegawai atasan - Utusan Malaysia

Menteri Indonesia ikrar siasatan adil kematian tentera didakwa didera pegawai atasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUSA TENGGARA TIMUR: Seorang menteri Indonesia memberi jaminan pihak tentera akan menjalankan siasatan telus berhubung kematian seorang rekrut tentera baharu di wilayah Nusa Tenggara Timur yang didakwa didera pegawai atasan, dalam kes yang menggegarkan negara itu dan angkatan tenteranya.

“Kerajaan komited memastikan insiden seperti ini tidak berulang melalui penguatkuasaan undang-undang dan pembaharuan sistem pengawasan dalaman di unit-unit tentera,” kata Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Budi Gunawan dalam kenyataan bertulis pada Selasa seperti dipetik oleh media tempatan, Tempo.

Prada Lucky Chepril Saputra Namo, 23, meninggal dunia pada 6 Ogos selepas empat hari menerima rawatan rapi di Hospital Wilayah Aeramo, Nusa Tenggara Timur susulan dakwaan didera pegawai atasan dari pasukan tentera.

Setakat Isnin, 20 anggota tentera termasuk pegawai kanan telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak tentera Indonesia. Budi berkata, kementeriannya akan memantau rapat proses ini, lapor Jakarta Globe.

“Kematian Lucky adalah perkara yang amat membimbangkan kerajaan kerana ia melibatkan keselamatan, disiplin dan maruah anggota tentera,” tegas Budi pada Selasa.

Komander Komando Wilayah Tentera IX/Udayana, Piek Budyakto yang mengetuai kawasan meliputi Bali, Nusa Tenggara Barat dan Nusa Tenggara Timur pada Isnin memaklumkan bahawa semua yang ditahan telah dibawa ke Kupang untuk proses undang-undang seterusnya.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Tentera, Wahyu Yudhayana, penderaan tersebut didakwa berlaku ketika aktiviti latihan ketenteraan yang kini turut disiasat.

Wahyu berkata pada Selasa bahawa salah seorang pegawai yang didakwa terlibat ialah seorang komander platun berpangkat leftenan dua dari unit Batalion Teritorial, tempat Lucky ditempatkan di daerah terpencil Nagekeo, Nusa Tenggara Timur.

“Beliau adalah komander platun dan berpangkat leftenan dua,” kata Wahyu kepada Kompas pada Selasa, tanpa mendedahkan nama pegawai tersebut.

Sebelum ini, Wahyu memaklumkan pegawai itu didakwa membiarkan anak buahnya melakukan keganasan dan mungkin dikenakan pertuduhan di bawah Artikel 132 Kod Tentera. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN