Houthi sambung serangan peluru berpandu bantu Iran - Utusan Malaysia

Houthi sambung serangan peluru berpandu bantu Iran

GAMBAR fail tentera Yemen dan militan Houthi berdiri menjaga pintu masuk Istana Presiden di Sanaa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA – Kumpulan Houthi yang disokong oleh Iran di Yemen telah memutuskan untuk menyambung semula serangan peluru berpandu dan dron ke atas laluan perkapalan termasuk terhadap Israel sebagai sokongan kepada Iran.

Dua pegawai kanan kumpulan itu yang bercakap kepada media antarabangsa berkata,  pihaknya telah memutuskan untuk menyambung semula operasi peluru berpandu dan dron terhadap lalu lintas maritim sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran. 

Pegawai-pegawai itu menyatakan bahawa serangan baharu boleh bermula dalam masa terdekat dan akan menyasarkan laluan perkapalan yang sebelum ini diserang semasa kempen kumpulan itu pada 2024–2025 di Laut Merah dan Teluk Aden. 

Houthi pada dasarnya menghentikan serangan maritim berskala besar pada pertengahan November 2025, susulan penurunan ketegangan serantau yang berkaitan dengan gencatan senjata di Gaza. 

Bermula dari 11 November 2025 hingga akhir Februari 2026, tiada serangan peluru berpandu atau dron terhadap kapal dagang yang boleh dikaitkan dengan kumpulan itu. 

Kenyataan kumpulan itu pada Sabtu menandakan berakhirnya kira-kira tiga setengah bulan ketenangan relatif di salah satu koridor perdagangan paling kritikal di dunia.

AS dan Israel melancarkan kempen terhadap rejim di Teheran pada 28 Februari, yang mengakibatkan kematian ramai pemimpin Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei. 

Republik Islam itu membalas dengan melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke pangkalan AS, Israel dan negara-negara Teluk, usaha yang disokong secara terbuka oleh Houthi, tetapi mereka tidak turut serta. 

Sebelumnya, Houthi pernah melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel termasuk ke kapal tentera dan awam di Laut Merah semasa perang di Gaza.

Pemimpin Houthi, Abdulmalik al Houthi sebelum ini menyampaikan ucapan pada 28 Februari lalu  mengecam serangan Amerika dan Israel terhadap Republik Islam. 

Abdulmalik menggambarkan operasi bersama itu sebagai serangan yang tidak dibenarkan ke atas sebuah negara Islam, tindakan terang-terangan, jenayah dan barbarik yang menyasarkan rakyat Iran Muslim. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN