Selat Hormuz: Kos syarikat kapal dijangka meningkat sehingga 20 peratus

Selat Hormuz: Kos syarikat kapal dijangka meningkat sehingga 20 peratus

CHEAH SIN BI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos operasi syarikat perkapalan dijangka terus meningkat sehingga 20 peratus sekiranya konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berlarutan, dengan penutupan Selat Hormuz dalam tempoh yang panjang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orkim Berhad, Kapten Cheah Sin Bi berkata, peningkatan itu didorong kenaikan kos insurans, harga bahan api serta gangguan operasi akibat ketidaktentuan laluan perkapalan utama di perairan antarabangsa.

Katanya, tekanan geopolitik di Asia Barat termasuk penutupan Selat Hormuz sekali gus  memberi tekanan kepada industri perkapalan, khususnya dari segi kos operasi dan jadual penghantaran yang semakin tidak stabil.

“Kapal terpaksa mengalihkan laluan yang berisiko rendah. Lencongan geografi ini menambah masa perjalanan dan peningkatkan kos minyak kapal. Malah, ia meningkatkan kadar perkhidmatan kargo laut yang agak ketara.

“Lagipun, kos operasi kapal pada masa sekarang telah pun meningkat kepada lapan sehingga 15 peratus. Justeru jika keadaan berlarutan (konflik dan penutupan Selat Hormuz), ia pasti membebankan. Tambahan pula, kos-kos ini akan dipindahkan kepada pengguna nanti,” katanya semalam.

Iran sebelum ini mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan dagang selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap beberapa sasaran di negara itu.

Keputusan berkenaan dibuat berikutan pencerobohan dan serangan AS baru-baru ini ke atas kawasan di wilayah Hormozgan selatan Iran.

Menurut Sin Bi lagi, konflik Iran secara asasnya telah menyusun semula corak perdagangan global dengan mengganggu aliran tenaga dan rantaian bekalan termasuk laluan perkapalan maritim yang disusun semula ( re-routing).

“Pihak kami telah memutuskan untuk mengelak laluan berisiko tinggi sejak bermulanya perang di Teluk Parsi dan memfokuskan operasi kapal tangki petroleum bersih (CPP) dan gas petroleum cecair (LPG) di laluan domestik dan intra-serantau Asia, seperti Malaysia, Singapura, dan koridor bebas konflik.

“Ini melindungi armada daripada ketidaktentuan geopolitik dan menjamin kontrak jangka panjang yang stabil.

Dalam perkembangan lain Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata, kerajaan Malaysia di gesa menjadikan krisis ini sebagai peluang bagi meningkat industri perkapalan Malaysia yang kini berada di kedudukan keempat dalam kalangan negara Asia Tenggara, berbanding tempat kedua sebelum itu.

“Ini terbukti selepas jumlah kapal dagang lebih banyak di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.

“Malah, sebanyak RM30 billion kos perkhidmatan kargo laut dibayar kepada syarikat perkapalan asing berbanding hanya kira-kira RM3 billion kepada syarikat perkapalan Malaysia dalam tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga 2024.

Tambahnya lagi, jurang  tersebut menunjukkan kebergantungan tinggi  perkhidmatan kargo laut kepada syarikat kapal luar negara walaupun Malaysia berpotensi tinggi menjana pendapatan dalam industri pengangkutan maritim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN