NEW YORK: New York bakal memperkenalkan caj kesesakan buat pertama kali di kawasan yang padat dengan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan trafik dan sebagai usaha memperbaiki kualiti udara di bandar raya ini.
Namun, rancangan itu ditentang hebat oleh pelbagai pihak, termasuk daripada pemandu ‘teksi kuning’ terkenal di bandar itu.
CAJ KESESAKAN
Pelan yang hampir serupa dengan penetapan harga seperti diperkenalkan di London dan Singapura itu bertujuan meningkatkan kualiti udara di Big Apple selain meredakan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Manhattan.
Kira-kira 700,000 kenderaan memasuki kawasan penetapan harga yang dicadangkan setiap hari, dengan kereta bergerak hanya 11.27 kilometer sejam secara purata akibat kesesakan.
Penguasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) menganggarkan caj berkenaan mampu menjana AS$1 bilion (RM4.55 bilion) setiap tahun yang sangat diperlukan untuk menaik taraf sistem kereta api bawah tanah yang digunakan lebih empat juta penduduk New York setiap hari.
Pelan itu akan mengenakan bayaran kepada pemandu untuk menggunakan kawasan jalan raya di 60th Street di Manhattan, kawasan yang merangkumi daerah perniagaan Midtown dan Wall Street.
“Caj itu akan membantu alam sekitar dengan mengurangkan pencemaran dan menjadikan bandar yang tidak pernah tidur itu lebih cekap dengan mempercepatkan masa perjalanan,” kata jurucakap MTA New York, John McCarthy.
MTA masih belum menetapkan kadar caj berkenaan tetapi dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran AS$23 (RM104) semasa waktu puncak dan AS$17 (RM77) ketika penggunaan di luar waktu puncak.
BANTAHAN PENDUDUK
Skim yang dijadual bermula tahun depan itu bagaimanapun sedang dicabar di mahkamah sekali gus menonjolkan kesukaran untuk mengenakan caj kepada pemandu di negara di mana kenderaan menjadi raja pengangkutan.
Seorang pemandu teksi yang berasal dari Myanmar, Wein Chin mengakui bimbang caj itu perlu disalurkan kepada pengguna, menyebabkan mereka terpaksa mengenakan bayaran tambang yang lebih rendah untuk menarik pelanggan.
Menurut lelaki berusia 55 tahun itu, dia kini memperoleh sekitar AS$300 hingga AS$400 (RM1,366 hingga RM1,822) seminggu dan bergelut untuk membayar pinjaman permit teksinya berjumlah AS$170,000 (RM775,022).
“Saya tidak tahu bahawa saya boleh bertahan, membayar gadai janji dan menyara keluarga jika caj itu dikenakan,” katanya.
Perikatan Pekerja Teksi New York, sebuah kesatuan yang mewakili 21,000 teksi, menganggarkan levi itu boleh menyebabkan pemandu kehilangan pendapatan sekitar AS$8,000 (RM36,480) setahun.
Anggota kesatuan itu dilaporkan mengadakan bantahan sejak beberapa minggu lalu untuk menuntut mereka dikecualikan daripada caj berkenaan.
Presiden kesatuan itu, Bhairavi Desai berkata, caj itu boleh membunuh kerjaya pemandu teksi yang berdepan pelbagai kesukaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat lonjakan pemandu Uber dan pandemik Covid-19.
New Jersey dilaporkan turut bertindak balas dengan menyaman kerajaan, mendakwa skim itu akan memberi beban kewangan yang tidak adil kepada mereka yang perlu memandu ke Manhattan untuk bekerja.
Negeri itu juga membantah cadangan itu kerana seakan penduduknya perlu membayar untuk menaik taraf rangkaian kereta api bawah tanah New York.
Bagaimanapun Gabenor New York, Kathy Hochul berkata, saman New Jersey tidak akan menghalang usaha meneruskan penetapan caj kesesakan itu.
Pegawai MTA juga dilaporkan mencadangkan diskaun terhadap caj itu bagi mengurangkan bebanan penduduk New York yang berpendapatan rendah.-AFP