Isu belon pengintip di AS: Blinken kecam tindakan China - Utusan Malaysia

Isu belon pengintip di AS: Blinken kecam tindakan China

ANTONY BLINKEN  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken  mengecam tindakan China berhubung isu belon pengintip yang dikesan melintasi ruang udara di negeri Montana.

Diplomat tertinggi AS itu menyifatkan tindakan Beijing yang menerbangkan objek dipercayai belon pengintip di ruang udara negaranya sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.    

Lapor BBC, Blinken menegaskan kehadiran belon udara milik China di ruang udara AS sudah jelas melanggar kedaulatan negaranya dan undang-undang antarabangsa.

“Perbuatan itu tidak boleh diterima serta dilihat sebagai tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Terdahulu, Blinken secara tiba-tiba membatalkan lawatan rasminya ke Beijing, yang bakal menjadi pertemuan peringkat tinggi pertama AS-China dalam tempoh beberapa tahun.

Blinken dijadualkan melawat Beijing pada 5 dan 6 Februari untuk mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu termasuk keselamatan, Taiwan dan pandemik Covid-19. 

Semalam, China mengakui objek berlegar-legar di ruang udara Montana merupakan `belon udara’ milik kerajaannya yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca.      

Kementerian Luar China dalam satu kenyataan memaklumkan belon itu menyimpang keluar dari laluan perjalanan yang dirancang.

China mendakwa belon udara itu tersasar dari laluan disebabkan perubahan angin yang tidak dijangka.

Dalam kenyataan itu, China menyuarakan kekecewaan bahawa belon udara yang digunakan bagi tujuan meteorologi dan misi saintifik, tersasar ke ruang udara AS.

Sementara itu, Jurucakap House White, Karine Jean-Pierre berkata, Presiden AS, Joe Biden sudah diberikan taklimat mengenai kehadiran belon udara itu sebelum barisan pentadbiran memutuskan wujudnya ketidakwajaran untuk meneruskan lawatan ke China buat masa ini.

Jean-Pierre berkata, pentadbiran AS menyedari kenyataan China berhubung perkara itu namun kekal menyifatkan kehadiran belon terbabit di ruang udara negara itu jelas melanggar kedaulatan.

“Sudah tentu, perkara seperti ini tidak boleh diterima,” katanya.

Berdasarkan pihak berkuasa AS, belon udara itu terbang di ruang udara Alaska dan Kanada sebelum muncul di Montana, lokasi beberapa tapak peluru berpandu nuklear yang penting. – AGENSI/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya