Rugi hampir RM2.7 juta gara-gara sindiket pelaburan dalam talian - Utusan Malaysia

Rugi hampir RM2.7 juta gara-gara sindiket pelaburan dalam talian

AZIZEE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua warga emas kerugian hampir RM2.7 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan lumayan menerusi platform media sosial dalam dua kes berasingan di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam kes pertama, seorang wanita tempatan berusia 72 tahun yang juga bekas pengarah syarikat kerugian RM1.403 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan dikenali sebagai ‘Shanghai Futures Exchange’.

Katanya, mangsa membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 14 Mei lalu selepas terpedaya dengan seorang kenalan lelaki warga asing yang dikenalinya menerusi Facebook pada Julai 2023.

“Suspek menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat berdasarkan jumlah modal dilaburkan. Mangsa kemudian diminta melayari satu laman web menerusi pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran keahlian dan urusan pelaburan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Azizee berkata, mangsa seterusnya melakukan 53 transaksi pembayaran berjumlah RM1.403 juta ke dalam 30 akaun bank berbeza melibatkan akaun individu dan syarikat antara tempoh 27 November 2025 hingga 5 Februari lalu.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan hampir RM30 juta yang dipaparkan dalam aplikasi selain akaunnya disekat dan suspek gagal dihubungi.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Azizee berkata, seorang lelaki berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga jentera kerugian sebanyak RM1.294 juta selepas menyertai pelaburan dalam talian dikenali sebagai ‘Global Finance Trends XA’.

Azizree berkata, mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan itu selepas melihat iklan di Facebook pada Mac lalu sebelum dihubungi seorang wanita melalui WhatsApp dan suspek menawarkan pelaburan kononnya dari China atas nama syarikat CITIC Wealth Advisors Sdn. Bhd. yang menjanjikan keuntungan tinggi.

“Mangsa diminta memuat turun aplikasi ‘Global Finance Trends XA’ bagi tujuan pendaftaran dan pelaburan. Dari tempoh antara 6 April hingga 4 Mei lalu, mangsa membuat 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.397 juta ke dalam akaun bank sebuah syarikat,” katanya.

“Mangsa sempat menerima pulangan keuntungan sebanyak RM103,000, namun, mula menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi dan diberikan pelbagai alasan oleh suspek,” katanya yang memberitahu, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN