Sultan Pahang santuni rakyat pedalaman Ulu Tembeling - Utusan Malaysia

Sultan Pahang santuni rakyat pedalaman Ulu Tembeling

AL-SULTAN Abdullah menyertai acara baling belon kasih sayang bersama Tengku Hassanal ketika berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling semalam bagi memulakan keberangkatan rasmi selama tiga hari ke kawasan pedalaman berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, keberangkatan baginda sehingga 17 Mei ini mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman negeri itu.

Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sepanjang berada di Kampung Bantal, baginda berkenan menyantuni rakyat yang hadir selain mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di sekitar kampung berkenaan.

Keberangkatan itu turut disambut meriah penduduk setempat yang teruja dan bersyukur atas kesudian Baginda meluangkan masa bertemu serta mendekati rakyat di kawasan tersebut.

“Antara pengisian sepanjang program berkenaan termasuk solat Jumaat bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, majlis gotong-royong, program saringan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) serta ziarah kasih di Kampung Gusai.

“Program yang diatur bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat selain membolehkan baginda melihat sendiri keperluan masyarakat di kawasan pedalaman menerusi pendekatan turun padang.

“Keberangkatan Sultan Pahang ke Ulu Tembeling juga menjadi lambang komitmen berterusan institusi Kesultanan Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira lokasi dan latar belakang masyarakat,” kata hantaran tersebut.

Sementara itu, baginda turut berkenan bercemar duli berangkat ke program sukan rakyat di Kampung Bantal, semalam.

Menurut hantaran itu, program sukan rakyat yang berlangsung dalam suasana penuh meriah berjaya menghimpunkan penduduk setempat serta pelbagai agensi dalam semangat muafakat dan kekeluargaan.

“Baginda berkenan menyaksikan pelbagai acara tradisional dan santai antaranya pertandingan tarik tali, acara belon kasih sayang serta aktiviti mengutip gula-gula yang disediakan khas untuk kanak-kanak,” menurut hantaran itu.

Suasana bertambah gamat apabila baginda bersama Tengku Hassanal turut berkenan menyertai acara baling belon kasih sayang, sekali gus menambahkan kemeriahan dan mencuit hati rakyat yang hadir.

Acara tarik tali turut mencuri tumpuan apabila pasukan Majlis Kesultanan Pahang muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN