ALOR SETAR: Kerajaan menegaskan isu pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan dan kelayakan mereka mewakili skuad kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami semua pihak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, status kewarganegaraan pemain terbabit tidak boleh dipersoalkan kerana semua proses telah mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.
Menurut beliau, kerajaan menggunakan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dalam urusan berkenaan dan setiap permohonan telah memenuhi kesemua tiga syarat yang ditetapkan.
“Saya cuma nak sebut dalam isu itu ada dua keadaan. Pertama adalah proses pemberian kewarganegaraan dan kedua adalah kelayakan pemain untuk bermain bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Jadi apabila proses itu kita lakukan maka pemberian kewarganegaraan adalah mengikut tertib yang ditentukan kepatuhannya mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkait dengannya. Itu tak ada isu.
“Apakah status kewarganegaraan itu telah melalui semua kepatuhan yang dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya,” katanya selepas Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super Imigresen FC di sini, malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membincangkan dan meneliti terlebih dahulu tuntutan yang mahu kerakyatan tujuh pemain warisan ditarik balik.
Perdana Menteri menegaskan, perkara itu perlu melalui saluran sewajarnya termasuk penelitian pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengikut prosedur biasa.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, soal kelayakan pemain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya berada di bawah bidang kuasa badan induk bola sepak dunia itu dan bukan lagi urusan kerajaan.
“Perkara itu tidak menjadi urusan kerajaan lagi. Kerajaan cuma memudahkan daripada segi permohonan kewarganegaraan. (Kelayakan bermain) itu tanggungjawab FIFA. Itu yang saya faham daripada kenyataan Perdana Menteri di Seremban,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan penyokong bola sepak negara, Ultras Malaya mengemukakan tiga tuntutan antaranya mendesak kerakyatan tujuh pemain warisan terbabit ditarik balik.
Tuntutan dikemukakan Ultras Malaya dalam melaksanakan ‘boikot fasa 1’ terhadap pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta-merta itu turut mendesak supaya pengurusan Harimau Malaya dipulangkan kepada FAM dan menggesa reformasi bola sepak Malaysia. – UTUSAN










