PETALING JAYA: Pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) dari Norway, bukan sahaja menggugat tahap persediaan kapal tempur pesisir (LCS) yang bakal diterima nanti, sebalik menjejaskan aspek operasi dan pembangunan keupayaan kapal peronda generasi baharu (NGPV) kelas Kedah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, selain itu pembatalan tersebut juga memberi kesan kepada tahap latihan anggota, penyelenggaraan
dan kos kitar hayat aset aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Justeru, kerajaan perlu merancang semula perolehan kelengkapan serta sistem persenjataan yang bersesuaian mengikut keperluan operasi dan kewangan semasa susulan isu pembatalan tersebut.
“Pemasangan sistem peluru berpandu pada kapal kelas NGPV perlu bagi meningkatkan keupayaan tempur dan kesiapsiagaan armada TLDM.
“NGPV sekarang ini tidak mempunyai keupayaan berperang secara menyeluruh.
Pemasangan kelengkapan misil secara langsung akan mempertingkatkan keupayaan tempur TLDM,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kerajaan sebelum ini berkata, semua enam buah kapal NGPV kelas Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dilengkapi dengan peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) jenis anti kapal (NSM), sebagai sebahagian daripada inisiatif peningkatan keupayaan tempur permukaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan Dewan Rakyat kepada soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut) semalam. – UTUSAN










