Serangan Houthi di lapangan terbang Arab Saudi ragut tiga nyawa

Serangan Houthi di lapangan terbang Arab Saudi ragut tiga nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Tiga orang terbunuh dalam serangan ke atas lapangan terbang Arab Saudi menurut pihak berkuasa penerbangan awam negara itu ketika pertempuran antara kumpulan Houthi dan pasukan kerajaan Yemen semakin sengit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Riyadh, manakala dua maut dan 28 cedera dalam serangan ke atas kemudahan di lapangan terbang Abha, menurut kenyataan pihak berkuasa berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan awam itu berkata, satu serangan berlaku pada Rabu dan satu lagi pada Selasa, namun tidak menyatakan serangan mana berlaku pada hari berkenaan.

Gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi Houthi berikrar untuk bertindak balas dan berkata, serangan itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Rabu, gabungan itu berkata, pihaknya menyerang lebih 80 lokasi ketenteraan Houthi di wilayah Saada, Hodeidah, Jawf dan Marib.

Serangan ke atas lapangan terbang Arab Saudi itu adalah antara siri serangan yang menyasarkan infrastruktur penerbangan pada Rabu.

Houthi menyerang lapangan terbang antarabangsa Aden dengan peluru berpandu balistik dan dron sarat bahan letupan awal Rabu, menurut Kementerian Pengangkutan Yemen.

“Satu peluru berpandu jatuh berhampiran landasan beberapa minit sebelum sebuah penerbangan dari Kaherah dijadualkan mendarat,” katanya dipetik Reuters.

Lapangan terbang berkenaan merupakan pintu masuk antarabangsa utama bagi beberapa kawasan Yemen yang tidak dikuasai Houthi.

Pertempuran di Yemen sejak beberapa hari kebelakangan ini tertumpu di kawasan sekitar Selat Bab al-Mandeb, laluan perkapalan yang menjadi semakin penting untuk eksport tenaga selepas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjejaskan perdagangan melalui Selat Hormuz.

Minggu ini, pasukan kerajaan Yemen dengan sokongan serangan udara gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan balas untuk merampas semula wilayah strategik berhampiran selat itu dan sekitar bandar Mocha yang ditawan Houthi pada September, namun belum dapat dipastikan sama ada kemaraan itu dapat dipertahankan.

Pertempuran itu, yang tercetus susulan konflik lebih besar antara AS dan Iran, menghidupkan semula perang selama 12 tahun di Yemen yang mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia serta memecah-belahkan negara Arab paling miskin itu.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), jumlah penduduk yang dipindahkan sejak pusingan pertempuran terbaharu bermula meningkat kepada lebih 200,000 orang, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN