BANGKOK: Permaisuri Thailand, Ratu Suthida menerbangkan jet pejuang Gripen secara solo buat kali pertama, menurut kenyataan istana pada Jumaat.
Penerbangan itu disaksikan suaminya, Raja Maha Vajiralongkorn, yang juga meminati bidang penerbangan.
Permaisuri berusia 48 tahun itu berlepas menggunakan pesawat pejuang JAS 39C Gripen satu tempat duduk dari pangkalan udara tentera di wilayah Surat Thani, selatan Thailand, pada Khamis, menurut rakaman video yang dikeluarkan pihak istana.
Laporan media menyatakan penerbangan itu dilakukan selepas beberapa minggu menjalani latihan menggunakan simulator di pangkalan berkenaan serta kira-kira 10 jam pengalaman menerbangkan pesawat Gripen dua tempat duduk.
Ratu Suthida yang juga bekas pramugari Thai Airways yang berkahwin dengan Raja Maha Vajiralongkorn pada 2019, beberapa hari sebelum pertabalan baginda.
Beliau mula menerbangkan pesawat pada 2010 dan sudah mengumpul hampir 1,190 jam penerbangan.
Beliau juga kerap bertindak sebagai juruterbang pembantu kepada raja dalam perjalanan diraja, termasuk ketika mendarat di Lapangan Terbang Paro di Bhutan yang terkenal dengan tahap kesukaran pendaratannya, menurut laporan media.
Thailand kini mengoperasikan satu skuadron jet pejuang Gripen C/D buatan syarikat Saab dari Sweden.
Tahun lalu, negara itu menandatangani perjanjian bernilai kira-kira AS$556 juta (RM2.27 bilion) untuk memperoleh tiga jet Gripen E dan sebuah Gripen F, dengan penghantaran dijadualkan selesai menjelang 2030.
Selepas Suthida mendarat, Raja Maha Vajiralongkorn menghadiahkan sejambak bunga kepada baginda dan menyematkan lencana Golden Gripen Order pada lengan kiri baginda.
Menurut laporan media, pencapaian itu menjadikan Ratu Suthida wanita pertama di Thailand yang menerbangkan jet pejuang Gripen secara solo.-AFP











