TEHERAN: Iran mengancam untuk menyekat laluan yang disifatkannya sebagai ‘haram’ di Selat Hormuz, sambil menegaskan Teheran masih mengawal sepenuhnya laluan perairan itu walaupun Amerika Syarikat (AS) mendakwa sebaliknya.
Selat itu merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia, yang lazimnya membawa kira-kira satu perlima penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global.
Pergerakan kapal melalui selat berkenaan terganggu teruk sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari, menyebabkan harga tenaga meningkat.
Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan sekitar AS101 (RM412.74) setong pada Rabu, berbanding kira-kira AS72 (RM294.23) sebelum konflik tercetus.
Komander Kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mohammad Reza Naqdi berkata, beberapa laluan perkapalan di sepanjang pantai Oman melalui selat itu akan ditutup tidak lama lagi.
Mohammad Reza berkata, ia diwujudkan dengan meletupkan dan merosakkan kawasan berbatu, sebelum bot kecil digunakan untuk membawa minyak melalui selat itu dan memindahkannya ke kapal tangki.
Beliau menyifatkan penghantaran berkenaan sebagai ‘penyeludupan’ dan berkata, jumlahnya terlalu kecil untuk menunjukkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz sudah kembali normal.
“Selat Hormuz ditutup dan angkatan tentera Republik Islam Iran mengawal sepenuhnya selat itu. Sekatan akan kekal sehingga tuntutan sah Teheran dipenuhi,” katanya.
Iran sebelum ini menawarkan untuk membuka semula selat itu sekiranya Washington mengurangkan tekanan ketenteraan dan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberikan penilaian yang jauh berbeza pada Rabu, dengan berkata, selat itu terbuka dan Iran telah hilang kawalan sepenuhnya ke atas Hormuz.
“Kini, jumlah minyak yang mengalir keluar hampir sama seperti sebelum konflik ini bermula,” kata Rubio kepada pemberita.
Presiden AS, Donald Trump turut berkata, tentera AS membantu penghantaran minyak melalui selat itu, dengan mendakwa aliran harian meningkat melebihi 20 juta tong.
Beliau menyalahkan serangan Kyiv terhadap kilang penapisan minyak Russia sebagai punca utama kekurangan diesel global, bukannya konflik di Asia Barat dan menggesa Presiden Ukraine, Vladimir Zelensky menghentikan serangan berkenaan.
Eksport minyak mentah dari rantau itu meningkat semula dengan ketara.
Purata pergerakan tujuh hari mencecah 18.3 juta tong sehari pada 30 September, menurut data awal Kpler yang dipetik Reuters.
Angka itu turut merangkumi minyak yang dihantar melalui laluan selain Selat Hormuz.
Risiko keselamatan di selat itu masih tinggi. Kapal tangki berbendera Panama, On Peace, terkena tembakan berhampiran Oman pada Selasa yang mencederakan 12 anak kapal, menurut pihak berkuasa India. Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam insiden itu.











