KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Russia melancarkan 3,900 dron, kira-kira 1,650 bom udara dan 38 peluru berpandu pelbagai jenis ke atas negaranya sepanjang minggu lalu.
Zelensky menerusi kenyataan di aplikasi Telegram turut memaklumkan bahawa tiga individu terkorban di wilayah Zaporizhzhia, manakala seorang lelaki maut di Kyiv akibat serangan dron pada Ahad.
Beliau meluahkan rasa dukacita berhubung kematian beberapa penduduk tempatan akibat siri serangan yang dilancarkan oleh tentera Russia pada malam berkenaan.
Zelensky turut memberitahu bahawa sebuah pusat data di Kyiv diserang sebanyak dua kali pada sebelah pagi di mana serangan pertama mencederakan tiga individu termasuk dua kanak-kanak.
Beliau menegaskan Kyiv terus bekerjasama rapat dengan negara-negara Eropah, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, Australia dan rakan kongsi lain bagi memperkukuh pertahanan Ukraine serta meneruskan usaha diplomatik.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan bahawa pasukannya telah membedil prasarana logistik, pelabuhan, pengangkutan, kemudahan komunikasi dan kapal yang digunakan untuk kepentingan angkatan tentera Ukraine.
Kementerian itu menambah, pusat data Vodafone di Kyiv, pusat logistik di wilayah Kyiv, dua gudang dron di Mykolaiv dan sebuah pusat logistik di wilayah Odesa antara sasaran yang berjaya dimusnahkan.
Ia turut mendakwa melancarkan serangan ke atas ibu pejabat pangkalan tentera laut Ukraine, kemudahan pengawal sempadan, stor simpanan tentera dan prasarana pelabuhan di bandar Kiliia, selain sebuah kapal kargo yang membawa bekalan ketenteraan ke pelabuhan Odesa.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa Pasukan Kumpulan Utara mereka telah menguasai kawasan penempatan Khrypuny di wilayah Kharkiv, Ukraine.
Sementara itu, serangan Russia mengorbankan lapan orang di seluruh Ukraine.
Ia berlaku sehari selepas Moscow berikrar untuk mencapai matlamat perangnya walau apa pun keadaannya, kata pihak berkuasa pada Ahad.
Russia meningkatkan serangan terhadap ibu negara Ukraine pada tahun kelima pencerobohannya, dengan Ukraine menuduh Moscow sengaja menyasarkan orang awam ketika negara itu bersiap menghadapi satu lagi musim sejuk yang sukar.
Menteri Dalam Negeri, Ivan Vyhivskyi mengumumkan jumlah korban terbaharu pada Ahad, dengan berkata, serangan Russia mengenai sebuah pusat kanak-kanak di bandar Sumy, utara negara itu, mengorbankan tiga orang termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun. – AGENSI











