Trump masih fikir sama ada mahu musnahkan Iran - Utusan Malaysia

Trump masih fikir sama ada mahu musnahkan Iran

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa bahawa beliau perlu membuat pilihan sama ada untuk memusnahkan Iran jika negara itu gagal mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Asia Barat.

“Saya perlu membuat keputusan besar. Adakah perjanjian akan dicapai dengan Iran yang membolehkan mereka membina semula negara itu dan menjadikannya jauh lebih hebat berbanding sebelum ini, mungkin menjadi antara negara terhebat di Asia Barat atau malah di dunia?” kata Trump.

“Atau adakah saya memusnahkan Republik Islam itu dan melakukannya dengan pantas, tanpa memberi mereka peluang untuk membunuh dan memusnahkan rakyat dan negara lain lagi?

“Adakah saya menghumban mereka ke neraka tanpa sebarang peluang untuk terus hidup dan tanpa harapan untuk mencapai kegemilangan pada masa depan atau generasi akan datang?” soalnya.

Namun, Trump mengulangi bahawa beliau berpendapat perjanjian masih boleh dicapai selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November  ketika parti Republikan pimpinannya berdepan risiko kehilangan kawalan terhadap Kongres, sebahagiannya disebabkan harga bahan api yang tinggi akibat perang.

“Saya percaya kita akan mencapai perjanjian sejurus selepas pilihan raya kerana tidak masuk akal bagi mereka untuk tidak berbuat demikian,” kata Trump.

“Mereka sedang menunggu untuk melihat prestasi saya dalam pilihan raya pertengahan penggal. Apa yang mereka tidak sedar ialah saya tidak bertanding. Saya sudah melaluinya dan menang dengan majoriti besar.

“Satu-satunya perkara yang saya fikirkan ialah Iran tidak akan pernah memiliki senjata nuklear,” kata presiden itu sambil disambut tepukan.

Perang Iran dimulakan oleh Trump apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei selepas rundingan di Geneva, Switzerland gagal menghasilkan sebarang keputusan mengenai perjanjian nuklear di Republik Islam itu.

Trump gesa semua negara melaksanakan pengasingan ekonomi sepenuhnya terhadap Iran

ICC

Trump dalam ucapannya turut menggesa semua negara yang menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya meninggalkan badan itu, yang disifatkannya sebagai tidak terkawal.

“Amerika  juga menentang institusi tidak terkawal yang dikenali sebagai Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” katanya ketika berucap di PBB.

“Saya menyeru semua negara yang menjadi anggota ICC supaya secara rasmi menarik diri daripada institusi yang sesat ini dengan serta-merta,” tambahnya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pernah berikrar untuk merombak ICC sambil menyifatkan mahkamah itu sebagai ancaman yang tidak boleh diterima terhadap kedaulatan AS.

Mahkamah  itu mendakwa individu atas jenayah paling berat di dunia.

Washington mengenakan beberapa siri sekatan terhadap pegawai ICC kerana berang dengan tindakan mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekutu rapat AS.

Dalam ucapannya,  Trump berkata Washington tidak akan sesekali membenarkan anggota tentera AS atau mana-mana pihak lain disiasat atau menjalani perbicaraan olok-olok oleh tribunal anti-Amerika yang tidak mempunyai bidang kuasa terhadap negaranya.

AS bukan anggota ICC dan tidak pernah meratifikasi Statut Rom yang menjadi asas penubuhan mahkamah itu. Israel, Russia dan China juga bukan anggota.

RUSSIA-UKRAINE

Trump turut memberitahu bahawa perjanjian antara Russia dan Ukraine bagi menamatkan pencerobohan Moscow boleh dicapai dalam masa terdekat.

“Kami bekerjasama rapat dengan pemimpin Russia dan Ukraine, dan kami akan mencapai perjanjian itu. Saya fikir ia akan berlaku lebih cepat daripada yang difahami orang ramai. Mereka sudah cukup dengan keadaan ini,” kata Trump dalam ucapannya.

Trump turut menolak dakwaan bahawa stok simpanan peluru AS  telah berkurangan akibat perang itu, dengan memberitahu Perhimpunan Agung PBB:  “Kami mempunyai lebih banyak peluru daripada yang mampu kami bayangkan untuk digunakan.”

PELURU BERPANDU

Beliau berkata AS sedang menghasilkan peluru pada tahap yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan membina kilang-kilang peluru baharu, senada dengan hantaran media sosialnya pada awal hari itu yang menolak apa yang disifatkannya sebagai dakwaan daripada pengecut dan pengkhianat bahawa stok Amerika semakin berkurangan.

Kenyataan itu dibuat selepas laporan pemeriksa agung Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon mengakui bahawa stok simpanan beberapa jenis peluru utama AS telah berkurangan susulan konflik berbulan-bulan dengan Iran.

Dalam perkembangan berasingan, dilaporkan bahawa tentera AS telah menggunakan hampir 80 peratus peluru pemintas bagi sistem pertahanan peluru berpandu utama, dengan beberapa komander kanan memberi amaran bahawa stok simpanan Pentagon secara keseluruhannya berada pada tahap  berbahaya rendah.

PALESTIN

Trump turut mempromosikan Lembaga Keamanan yang ditubuhkannya sebagai badan antarabangsa untuk mengawasi pembangunan semula Gaza, dengan menyifatkannya sebagai kumpulan yang terdiri daripada individu penting. Beliau sebelum ini mencadangkan bahawa badan itu suatu hari nanti boleh menggantikan PBB.

Taklimat peringkat tinggi mengenai kerja lembaga itu dijadualkan berlangsung minggu ini di luar sesi Perhimpunan Agung PBB.

Lembaga yang dipengerusikan Trump itu merangkumi beberapa negara Teluk bersama Turkiye, Pakistan dan Argentina. Namun, kebanyakan sekutu Eropah Washington tidak menyertainya. Keanggotaan tetap dikenakan kos AS$1 bilion (RM4 bilion).

Walaupun Trump berkata anggota lembaga itu telah memberikan komitmen dari segi kewangan dan tenaga kerja, lembaga berkenaan masih belum memasuki Gaza, manakala serangan Israel ke atas wilayah itu tetap berterusan.

AI

Trump berkata, dokumen kerajaan AS selepas ini akan menggunakan istilah kepintaran super (SI)’ dan bukannya kecerdasan buatan (AI), selain mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa amaran mengenai AI adalah satu penipuan.

“Mulai sekarang, semua dokumen Amerika dan diharapkan dokumen seluruh dunia, akan diubah untuk menggunakan istilah ‘super’ yang jauh lebih tepat berbanding ‘buatan’. Jadi, ia adalah kepintaran super,” kata Trump.

“Saya tidak akan menyekat perkembangan sesuatu yang akan menjadi lebih besar daripada Revolusi Perindustrian,” katanya.

VENEZUELA

Presiden AS itu turut berkata perjanjian berkaitan minyak Venezuela kini mula menunjukkan perkembangan  sambil menambah bahawa beberapa syarikat minyak terbesar dunia sedang memasuki negara itu.

Trump  berkata, Mexico merupakan pusat keganasan kartel dadah, sambil menambah bahawa negara itu perlu mendapatkan semula kawalan ke atas wilayahnya.

CUBA

Beralih kepada Cuba, Trump memberitahu PBB bahawa negara itu akan tumbang.

GREENLAND

Beliau berkata, AS akan membangunkan kehadiran ketenteraan yang besar di Greenland, termasuk dua pangkalan tentera utama, dan satu perjanjian akan ditandatangani pada Selasa.

Trump berkata dokumen kerajaan AS selepas ini akan menggunakan istilah kepintaran super (SI) dan bukannya kecerdasan buatan (AI), selain mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa amaran mengenai AI adalah satu penipuan.

“Mulai sekarang, semua dokumen Amerika  dan diharapkan dokumen seluruh dunia, akan diubah untuk menggunakan istilah ‘super’ yang jauh lebih tepat berbanding ‘buatan’. 

Jadi, ia adalah kepintaran super,” kata Trump.

“Saya tidak akan menyekat perkembangan sesuatu yang akan menjadi lebih besar daripada Revolusi Perindustrian,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×