Serangan Ukraine di Russia jejas pasaran tenaga global - Utusan Malaysia

Serangan Ukraine di Russia jejas pasaran tenaga global

UKRAINE menyerang kilang penapisan minyak Gazprom Neft milik Russia di Moscow. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Russia memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai kesan serangan Ukraine terhadap infrastruktur tenaga dan ren­tas sempadan yang didakwa boleh mencetuskan ketidakstabilan pasaran global.

Perkara itu menjadi antara isu yang dibangkitkan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York kelmarin.

Pertemuan itu turut me­nyaksikan perbincangan me­­ngenai konflik Ukraine, hubungan dua hala Russia-AS dan pelbagai isu antarabangsa.

Bagaimanapun, Jabatan Negara AS dalam kenyataan ringkas hanya memaklumkan bahawa Lavrov dan Rubio membincangkan konflik Russia-Ukraine serta hubu­ngan antara kedua-dua negara.

Menurut Moscow, Lavrov turut menarik perhatian Rubio terhadap apa yang didakwa sebagai penyelarasan rapat antara Kyiv dan penyokong Eropahnya.

Ia turut membangkitkan serangan Ukraine terhadap orang awam dan ‘kemudahan infrastruktur rentas sempadan’ yang menurut Russia sengaja menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran tenaga global.

Isu berkenaan semakin mendapat perhatian di Wa­shington susulan kenaikan harga diesel yang mencecah paras rekod, dengan harga purata nasional melebihi AS$6.50 (RM27.37) segelen   atau 3.78 liter pada September 2026.

Presiden Donald Trump baru-baru ini menggesa   rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia, dengan menyifatkan serangan itu sebagai antara punca kekurangan bekalan global dan menjejaskan dunia.

Sementara itu, selepas bertemu Lavrov, Rubio berkata, Russia dan Ukraine menunjukkan minat terhadap gencatan senjata terhad yang melibatkan sasaran tenaga.

Bagaimanapun, beliau mengakui langkah itu tidak menyelesaikan perang dan sukar dicapai kerana kedua-dua pihak menganggap infrastruktur tenaga sebagai sasaran strategik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×