Serangan Iran rosakkan sembilan jet tempur AS bernilai jutaan dolar - Utusan Malaysia

Serangan Iran rosakkan sembilan jet tempur AS bernilai jutaan dolar

IRAN melancarkan serangan peluru berpandu balistik menyebabkan sembilan jet tempur Amerika Syarikat (AS) rosak di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Serangan peluru berpandu balistik Iran terhadap sebuah pangkalan udara utama Amerika Syarikat (AS) di Jordan pada Rabu menyebabkan sejumlah pesawat tempur AS mengalami kerosakan, menurut beberapa sumber yang menge­tahui perkara itu kepada Air & Space Forces Magazine.

Sebuah jet tempur AS, A-10 Thunderbolt II yang bernilai hampir AS$10 juta (RM41 juta) mengalami kerosakan teruk pada sayapnya dalam serangan balas Iran selepas Washington memusnahkan lima kapal tangki minyak Teheran pada Selasa lalu.

Kira-kira lapan pesawat pejuang F-15E Strike Eagle yang setiap sebuahnya berharga AS$31 juta (RM126 juta) turut rosak akibat serangan balas Iran.

Kejadian itu berlaku selepas Iran menyerang Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan ketika perang Asia Barat kembali memuncak sejak perang dimulakan AS bersama Israel yang menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

Bagaimanapun, dalam serangan Iran itu, tentera AS dan Jordan bertindak pantas dengan melancarkan pemintas bagi menangkis bedilan peluru berpandu Teheran.

Pegawai AS berkata, tiada anggota tentera negara itu terbunuh dalam serangan berkenaan.

Beberapa jam selepas sera­ngan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa pihaknya berjaya merosakkan pesawat AS yang ditempatkan di pangkalan berkenaan.

AS menempatkan berpuluh-puluh pesawat tempur di pangkalan itu, yang berfungsi sebagai hab utama kuasa udara bagi operasi menentang Iran.

Teheran beberapa kali me­nyasarkan kemudahan berkena­an, yang terletak berhampiran bandar Azraq di Jordan, sejak konfliknya dengan AS bermula. 

Tiga anggota tentera AS terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas pangkalan itu pada Julai.

Sementara itu, konflik sema­kin memuncak apabila Iran mendakwa menyerang lebih 12 kapal yang cuba melalui Selat Hormuz. Ia termasuk dua kapal milik AS, lapan kapal tangki mi­nyak dan 10 kapal yang didakwa tidak mematuhi arahan Teheran.

Pemantau maritim Britain, UKMTO, turut melaporkan beberapa kapal dagang di utara Teluk Arab dan Teluk Oman  menjadi sasaran tembakan yang melumpuhkan susulan aktiviti ketenteraan yang berterusan di rantau itu.

Perkembangan berkenaan meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global kerana Selat Hormuz merupakan laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia. Aliran minyak melalui laluan itu kini jauh lebih rendah berbanding paras sebelum konflik.

Kebimbangan gangguan bekalan turut melonjakkan harga minyak apabila Brent, penanda aras minyak mentah antarabangsa, kekal melebihi AS$100 setong pada Khamis.

Brent meningkat kepada sekitar AS$101.34 (RM411.70) setong dalam dagangan awal Asia, selepas ditutup pada AS$101.21 (RM411.10) sehari sebelumnya, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat kepada kira-kira AS$96.55 (RM392) setong.

Pertempuran antara kedua-dua musuh itu disambung semula pada hujung bulan lalu de­ngan serangan AS ke atas Iran, ketika perang memasuki bulan ketujuh.

Iran terus mengetatkan cengkaman terhadap Selat Hormuz yang strategik, ketika Washington terus meningkatkan usaha sekatan balas terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×