Lima maut selepas pesawat kargo rempuh kenderaan di jalan raya - Utusan Malaysia

Lima maut selepas pesawat kargo rempuh kenderaan di jalan raya

SEBUAH pesawat kargo terbabas di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya lima orang terkorban apabila sebuah pesawat kargo yang dikendalikan untuk syarikat Amazon terbabas dari landasan dan merempuh sebatang jalan raya di sebuah lapangan terbang di Miami.

Beberapa keping gambar di lokasi kejadian yang dikongsi oleh NBC Miami memaparkan pesawat berkenaan berada pada kedudukan berbahaya berhampiran sebuah bangunan, dengan kepulan asap tebal dilihat menjulang keluar dari badan pesawat.

Pesawat kargo berkenaan sedang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dari San Juan, Puerto Rico, apabila ia terbabas dari landasan pada Ahad sekitar jam 2 petang waktu tempatan dan merempuh beberapa buah kenderaan di Northwest 42nd Avenue, menurut kenyataan Jabatan Penyelamat Bomba Miami-Dade.

Ketua Bomba, Raied Jadallah dalam satu sidang media pada Ahad malam memaklumkan bahawa sebaik sahaja anggota bomba tiba di lokasi kejadian dalam tempoh 30 saat selepas menerima panggilan kecemasan, mereka mendapati terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan masing-masing.

Mereka turut mendapati pesawat jenis Boeing 767-300 itu berada dalam keadaan terbakar dengan api yang besar beserta asap tebal.

“Apa yang kami temukan di sini ialah satu situasi yang amat rumit,” jelas beliau.

Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan terkorban dalam tragedi berkenaan, manakala tiga lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal di sebuah pusat trauma tempatan.

Dua lagi mangsa turut dihantar ke hospital akibat kecederaan yang tidak dinyatakan. 

Bagaimanapun, Jadallah tidak menjelaskan sama ada juruterbang atau pembantu juruterbang terselamat.

Punca sebenar kejadian itu akan ditentukan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×