SOFIA: Ancaman bom terhadap penerbangan Austrian Airlines dari Tel Aviv ke Vienna pada Ahad memaksa pesawat itu dilencongkan ke Bulgaria, menurut pihak berkuasa negara itu dan syarikat penerbangan berkenaan.
Kementerian Pengangkutan Bulgaria dalam satu kenyataan berkata, anak kapal Austrian Airlines memutuskan untuk membuat pendaratan cemas di Sofia selepas dipercayai menerima ancaman bom ketika mendekati ruang udara Romania.
Katanya, kesemua penumpang dipindahkan sejurus pesawat mendarat.
Pihak kementerian menambah, Tentera Udara Bulgaria mengerahkan jet pejuang MiG-29 untuk mengiringi pesawat komersial berkenaan sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Syarikat penerbangan itu memberitahu AFP, terdapat 51 penumpang dan enam anak kapal di dalam pesawat jenis Airbus A320 tersebut. Pemeriksaan keselamatan terus dilancarkan sebaik sahaja ia mendarat dengan selamat di Sofia, kira-kira setengah jam selepas ancaman diterima.
“Sebaik sahaja pemeriksaan pesawat selesai, para penumpang akan ditempah semula ke penerbangan alternatif secepat mungkin,” kata syarikat penerbangan itu.
Berdasarkan data Flightradar24, pesawat dengan pendaftaran OE-LZE itu memasuki ruang udara Romania pada kira-kira pukul 9.10 malam waktu tempatan sebelum membuat pusingan ke arah selatan menuju semula ke Bulgaria, di mana ia kemudiannya mendarat di Sofia.
Data daripada satu lagi platform pemantauan penerbangan, ADS-B Exchange, menunjukkan bahawa pesawat tersebut menghantar kod squawk 7700 iaitu isyarat kecemasan am pada waktu yang hampir sama.
Kementerian Pengangkutan Bulgaria mengesahkan sebuah pasukan tindakan krisis telah ditubuhkan dan pihak berkuasa berkaitan telah memulakan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Dalam kejadian berasingan baru-baru ini, pembantu juruterbang pesawat Flydubai dari Dubai ke Tel Aviv bertindak menyerang kapten dan didakwa merancang untuk menghempaskan pesawat secara sengaja. Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dihalang oleh kapten, penumpang serta anak kapal.
Minggu lalu, Croatia dan Jerman turut mengerahkan jet pejuang masing-masing selepas sebuah penerbangan komersial dari pulau peranginan Corfu di Greece ke bandar Nuremberg, Jerman terhantar isyarat rampasan pesawat secara tidak sengaja. AGENSI/AFP











