MANILA: Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 87 lagi masih belum ditemukan selepas kebakaran berlaku di sebuah feri berhampiran kawasan tumpuan pelancong di wilayah Palawan, kata pengawal pantai pada Khamis.
Kebakaran di atas feri M/V June Aster tercetus pada petang Rabu kira-kira 2.2 kilometer dari pantai, menurut pengawal pantai dan menambah lima mangsa telah dibawa ke darat.
Video yang dikongsi pengawal pantai di Facebook menunjukkan kapal berkenaan marak dijilat api sepenuhnya.
“Berdasarkan data yang kami ada ketika ini mengenai 42 orang yang diselamatkan dan mangsa, masih terdapat 87 orang yang belum ditemukan,” kata Kapten Pengawal Pantai, Noemi Cayabyab kepada sebuah stesen radio tempatan pada Khamis.
Beliau memberitahu bahawa kapal itu menyenaraikan 134 penumpang dan anak kapal.
“Untuk menjelaskan keadaan, ini adalah data semasa dan mungkin berubah kerana operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan,” katanya.
Daripada mereka yang diselamatkan, 38 adalah penumpang manakala empat lagi anak kapal, kata Cayabyab.
“Bagaimanapun, kami masih belum memperoleh maklumat daripada mereka yang diselamatkan kerana kami belum berpeluang bercakap dengan mereka,” katanya, sambil menambah usaha memadamkan kebakaran masih dijalankan.
Data penjejakan daripada MarineTraffic menunjukkan June Aster berlepas dari Manila. – AFP









